MOSTI sasar Malaysia dalam kelompok 20 terbaik dunia menjelang 2025

Bernama
Ogos 21, 2023 04:00 MYT
Arthur berkata, bagi mencapai matlamat tersebut MOSTI sentiasa memupuk minat terhadap bidang STEM sejak di peringkat awal lagi. - Gambar fail/Bernama
KOTA MARUDU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meletakkan sasaran agar Malaysia berada dalam kedudukan ke-20 negara teratas di dunia dalam bidang ekonomi, kesejahteraan rakyat dan kreativiti serta inovasi menjelang tahun 2050.
Sehubungan itu, Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata bagi mencapai matlamat tersebut MOSTI sentiasa memupuk minat terhadap bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) sejak di peringkat awal lagi.
"Kita memerlukan perubahan signifikan termasuk kesediaan dan pembangunan modal insan, perbelanjaan, pembudayaan selain berjiwa besar. Sains sering disebut subjek sukar atau susah dan ini cabaran perlu ditangani semua pihak," katanya berucap merasmikan Kembara Sains Borneo Siri Satu di sini pada Isnin.
Beliau berkata berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2022, peratusan murid menengah atas yang menyertai aliran STEM dari tahun 2017 hingga 2022 mencatatkan penurunan 45.2 peratus kepada 40.94 peratus.
"MOSTI komited menjadikan sains sebagai topik menarik untuk setiap individu tanpa mengira usia. Bagi menyokong komitmen MOSTI dalam Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi serta mengarus perdanakan inovasi, Minggu Sains Negara (MSN) kini dilaksanakan bermula April sehingga November 2023.
"Program seperti Kembara Sains Borneo ini menyokong pelaksanaan MSN sebagai sebuah program turun padang untuk mendekatkan orang ramai dalam meneroka pelbagai topik berkaitan sains. Sesungguhnya sains itu menarik dan mudah difahami," katanya.
Arthur berkata MOSTI menekankan subjek berkaitan STEM menyediakan peluang pekerjaan yang besar di masa hadapan, justeru beliau menyeru ibu bapa dan guru memainkan peranan proaktif dalam membantu usaha kerajaan menggalakkan pelajar memilih aliran berkaitan STEM.
"Kementerian mengalu-alukan kerjasama oleh rakan-rakan strategik dalam usaha untuk menarik minat para pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi dan Inovasi di samping memberikan pendedahan awal kepada mereka untuk bersedia bagi perancangan kerjaya," tambahnya.
Mengulas mengenai program itu, beliau berkata ia adalah anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM) agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dengan sokongan Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi (KSTI) Sabah, Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Pejabat Daerah dan rakan-rakan strategik yang lain.
Katanya selepas Dewan Komuniti Kota Marudu hari ini, Siri Satu program itu akan diteruskan esok di Dewan Masyarakat Majlis Daerah Pitas; dan 23 Ogos 2023 di Dewan Hakka Kudat yang mana acara itu berlangsung 8 pagi sehingga 5 petang, dan kemasukan adalah percuma.
"Pelbagai program dianjurkan antaranya aktiviti STEM seperti Chemist Mini Lab, Pemencilan DNA, Demonstrasi Dron, dan Pameran U-Science; manakala Program Komuniti dan Citizen Science membabitkan aktiviti Ceramah Keusahawanan Digital dan Perkongsian Keusahawanan, katanya.
Arthur berkata MOSTI melalui Pusat Sains Negara (PSN) akan meneruskan Kembara Sains Borneo Siri Kedua bermula pada 15 Sept hingga 1 Okt ini di tiga lokasi iaitu Kimanis, Kalabakan dan Pensiangan; selain menyasarkan sejumlah 20,000 pengunjung akan menyertai kedua-dua siri Kembara Sains Borneo ini.
-- BERNAMA
#MOSTI #STEM #kesejahteraan rakyat #program turun padang
;