MOSTI rancang promosi teknologi tanpa perparitan, ruang bawah tanah ke luar negara
Bernama
November 7, 2023 04:30 MYT
November 7, 2023 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sedang dalam perancangan untuk mempromosikan teknologi tanpa perparitan dan teknologi ruang bawah tanah ke luar negara.
Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata pihaknya merancang untuk memperluaskan lagi bidang teknologi itu sebelum memasarkan tenaga pakar yang khusus dalam teknologi tersebut ke negara lain.
"Teknologi ini sudah wujud di Malaysia dan kita (negara) antara perintis... kita sudah pun mula gunakan teknologi ini dan apa yang kita boleh buat sekarang ialah mempopularkannya supaya kita dapat eksport kepakaran kita ke negara luar," katanya kepada pemberita pada Asian Conference on Development and Innovations in Trenchless and Underground Space Technology 2023 di sini pada Selasa.
Dalam masa sama, beliau berkata teknologi tersebut juga secara tidak langsung dapat membawa manfaat kepada negara dalam bidang penggalian bawah tanah dengan lebih lestari berbanding penggalian konvensional.
"Saya rasa ia (teknologi tanpa perparitan dan ruang bawah tanah) boleh membantu negara kita sebab masalah negara kita adalah kerja-kerja menggali yang tidak ada penyelarasan, sebagai contoh hari ini syarikat air datang buat kerja menggali, esok syarikat telekomunikasi nak buat fiber pula.
"Saya yakin dengan teknologi ini walaupun banyak pipe jacking, tetapi ia tidak mengganggu di atas permukaan dan saya rasa ini merupakan satu teknologi yang ke hadapan," katanya.
Sementara itu, Presiden Institut Jurutera Malaysia Prof Dr Norlida Buniyamin berkata pihaknya menyambut baik cadangan Chang yang mahukan lebih ramai pakar dalam negara untuk dipasar ke luar negara.
"Negara lain seperti Laos, Vietnam dan Kemboja sangat memerlukan kepakaran kita dan tugas saya untuk membawa ke hadapan teknologi itu bukan sahaja di peringkat ASEAN tetapi di dunia," katanya.
-- BERNAMA