MOSTI lancar Pelan Haja Tuju Teknologi Negara

Bernama
Ogos 9, 2022 21:46 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba (dua, kiri) melancarkan Pelan Hala Tuju Teknologi Negara di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) hari ini melancarkan lima Pelan Hala Tuju Teknologi negara bagi memperhebatkan usaha Malaysia menjadi pembangun teknologi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar dan buruh asing.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba dalam ucapannya ketika melancarkan pelan berkenaan di sini hari ini berkata pembangunan teknologi dalam kesemua sektor itu amat signifikan kerana Malaysia mahu mencapai status negara berteknologi tinggi pada tahun 2030.
Justeru katanya tumpuan harus diberikan kepada aktiviti pembangunan ekosistem teknologi tempatan yang inklusif, merangkumi rantaian bekalan dan nilai, pembangunan dan penyelidikan, serta pengkomersialan dan inovasi, agar teknologi dapat dijajarkan dengan keutamaan negara.
"Terdapat empat bidang yang telah dikenal pasti iaitu kilang dan taman industri pintar, agrikultur pintar, tenaga boleh diperbaharui dan solar photovoltaic, serta Next Generation Vehicle dengan sistem mobiliti pintar," katanya.
Katanya Pelan Hala Tuju Teknologi Blockchain Negara pula akan memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pembangunan dan aplikasi Blockchain seperti pengalaman kerajaan menggunakan platform blockchain hyperledger ketika pandemik COVID-19 yang membolehkan ahli farmasi serta pegawai perubatan menjejaki rantaian bekalan vaksin.
"Selain itu kita yakin teknologi blockchain boleh digunakan bagi menjejaki rantaian produk daging import halal bermula daripada peringkat penyembelihan hingga pengedaran. Dengan cara ini, kita bukan sahaja dapat mengelak kegiatan kartel, malah membantu kebanyakan pengguna kerana rangkaian bekalannya boleh dikawal dan diurus dengan baik," katanya.
Dr Adham berkata pembangunan teknologi AI pula bertujuan membangunkan ekosistem inovasi kepintaran buatan bagi pembangunan AI yang memanfaatkan kolaborasi quadruplehelix berpandukan prinsip AI yang bertanggungjawab.
"Sementara itu, pembangunan Teknologi Bahan Termaju dapat memperkukuhkan ekosistem inovasi bahan termaju tempatan dengan memberi fokus kepada empat bahan termaju iaitu grafin, nitinol, bahan nadir bumi dan polimer selulosa mikro hablur.
"Manakala Robotik Negara berperanan mengenal pasti strategi pembangunan teknologi robotik negara dalam menjadikan Malaysia sebuah hab robotik dan bagi mencapai matlamat berkenaan, Akademi Pembangunan Bakat Robotik (RoTDA) akan ditubuhkan," katanya.
-- BERNAMA
#MOSTI #Pelan Haja Tuju Teknologi Negara #Dr Adham Baba #Menteri Sains Teknologi dan Inovasi
;