MOSTI lancar e-Beca, rancakkan industri beca Terengganu
Bernama
Jun 2, 2022 13:05 MYT
Jun 2, 2022 13:05 MYT
KUALA TERENGGANU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melancarkan beca elektronik (e-Beca) yang dilengkapi aksesori moden, sebagai transformasi pengangkutan ikonik itu bagi merancakkan industri beca di Terengganu.
Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata transformasi yang pertama kali dilancarkan dalam negara itu, akan memudahkan pengayuh beca khususnya yang sudah berusia.
Katanya, e-Beca tidak perlu dikayuh seperti beca biasa dan turut dilengkapi paparan skrin LED, sistem audio serta kuasa bateri menggunakan sistem pengecasan solar.
"Hari ini alhamdulillah kita lancarkan tiga versi yang diusahakan oleh Universiti Teknologi Malaysia Melaka (UTeM).
"Ia menggabungkan inovasi melibatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui iaitu solar, tak perlu kayuh, kerana ada segelintir pengguna tak sampai hati melihat pak cik-pak cik kayuh beca," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Inovasi Beca Terengganu (E-Beca) di sini, hari ini.
Menurutnya industri beca akan pupus jika inovasi seumpama itu tidak diperkenalkan, memandangkan rata-rata pengayuh kini berumur 65 hingga 70 tahun.
Ahmad Amzad berkata idea pelaksanaan e-Beca Terengganu tercetus daripada inisiatif kerajaan di bawah Program Berimpak Tinggi 6 (HIP6) melibatkan SME Corp sebagai pembiaya dan MOSTI menerusi Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) selaku agensi pelaksana Pertandingan Inovasi Beca Terengganu 2021.
"Pertandingan Inovasi Beca Terengganu menyaksikan UTeM muncul juara dan memenangi Geran HIP6 berjumlah RM90,000 yang meliputi aspek pembangunan model, kajian, ujian dan kebolehpasaran pembangunan e-Beca di Terengganu," katanya.
Mengenai tambang, beliau berkata setakat ini belum ada ketetapan dibuat dan menekankan bahawa ciri-ciri beca seperti tambang berpatutan dan mesra pengunjung akan dikekalkan.
Beliau berkata inovasi berkenaan bakal diperluas, selain berharap usaha itu akan mendapat sambutan menggalakkan.
-- BERNAMA