MOSTI kaji kaedah pembelajaran tarik minat OKU dalam STI
Bernama
September 12, 2023 04:30 MYT
September 12, 2023 04:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan mengkaji kaedah untuk menambah baik pembelajaran dalam aliran Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) bagi menarik minat kanak-kanak orang kurang upaya (OKU).
Menteri berkenaan Chang Lih Kang berkata ia selari dengan sokongan MOSTI terhadap Dasar OKU yang memberi hak dan peluang kepada semua lapisan masyarakat termasuk golongan berkenaan untuk menerima pendidikan sepanjang hayat dalam bidang STI.
"Mereka (OKU) perlu diberi peluang yang sama...mungkin pendekatan itu perlu berbeza sedikit kerana mereka ada kelainan, misalnya alat (kaedah) yang kita pamerkan dan program yang kita persembahkan mungkin ada sedikit penyesuaian," katanya selepas melancarkan Hari Istimewa Sains 2023 di Pusat Sains Negara (PSN) di sini pada Selasa.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains) MOSTI Ruziah Shafei dan Pengarah Pusat Sains Negara Mismah Jimbun.
Chang turut membuka ruang kepada pakar dalam bidang berkenaan untuk memberikan pandangan mengenai menambah baik kaedah pembelajaran dalam STI kepada golongan OKU.
Sementara itu, Chang berkata Hari Istimewa Sains tahun ini yang bertemakan 'Eksplorasi Citra Alam' mendapat sambutan lebih 1,000 peserta daripada kalangan kanak-kanak OKU.
Program selama dua hari itu menyediakan aktiviti seperti kreatif hands-on, demonstrasi sains, persembahan anak-anak OKU, bengkel permainan sensori dan ekplorasi alam.
Hari Istimewa Sains merupakan program yang disambut setiap tahun oleh PSN bagi menggalakkan penglibatan golongan OKU dalam menerokai Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi aktiviti berkonsepkan bermain sambil belajar melalui deria (penglihatan, sentuhan, bau, rasa dan pendengaran).
-- BERNAMA