MOSTI gesa institusi kewangan, pelaburan membiayai industri berkaitan angkasa di Malaysia
Bernama
Mei 25, 2023 04:03 MYT
Mei 25, 2023 04:03 MYT
LANGKAWI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menggesa institusi kewangan dan pelaburan membuka pintu mereka bagi membiayai industri berkaitan angkasa di Malaysia.
Timbalan Menterinya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata, gesaan itu dibuat berikutan pembiayaan daripada kerajaan adalah terhad untuk sektor berkenaan setakat ini, dan mekanisme pembiayaan lain seperti modal teroka, perkongsian awam-swasta (PPP), instrumen pembiayaan yang kompetitif dan pendanaan awam akan membantu dalam merealisasikan aspirasi angkasa negara.
"Mekanisme kewangan ini boleh digunakan untuk memangkin industri angkasa tempatan. Pada tahun 2021 sahaja, rekod menunjukkan pasaran awam dan swasta menempatkan modal baru sebanyak US$10 bilion (US$1=RM4.60) untuk syarikat-syarikat angkasa.
"Minat yang semakin meningkat untuk meneruskan kesan sampingan, perkongsian dan pelaburan swasta mendorong minat pasaran awam dan swasta untuk membiayai hala tuju produk syarikat-syarikat ini, sekali gus mempercepatkan inovasi dan menyediakan lebih banyak persaingan dalam kalangan syarikat," kata beliau dalam ucaptamanya di Forum Angkasa Antarabangsa Langkawi 2023 di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri di sini semalam.
Forum itu bersempena dengan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA'23).
Arthur berkata laporan menunjukkan ekonomi angkasa global mencatatkan pertumbuhan yang luar biasa berjumlah kira-kira US$447 bilion, meningkat daripada US$280 bilion pada 2010, dan dijangka meningkat lagi kepada US$1 trilion menjelang 2030.
"Oleh itu, sudah tiba masanya institusi kewangan dan pelaburan mempertimbangkan industri angkasa sebagai sumber ekonomi baharu negara. Inovasi kewangan adalah satu kemestian bagi industri angkasa.
"Mekanisme pembiayaan baharu seperti geran kompetitif, pembiayaan hutang, mekanisme perkongsian risiko dan insentif cukai boleh menarik pemain tempatan dan asing untuk menyumbang atau menubuhkan perniagaan di sini," katanya.
Mengulas mengenai Pelan Strategik Industri Angkasa Malaysia 2030 yang dilancarkan semalam, Arthur berkata pelan itu telah menggariskan beberapa inisiatif untuk dilaksanakan dengan matlamat mewujudkan ekosistem pembiayaan dan pelaburan yang mampan bagi menggalakkan pengkomersialan angkasa.
Beliau juga menggesa syarikat insurans dan badan penggubal undang-undang untuk mengikuti perkembangan itu bagi memastikan era baharu inovasi angkasa mencapai potensi penuh sambil turut menekankan keperluan untuk mempunyai rangka kerja undang-undang dan kawal selia mengenai tadbir urus angkasa atas sebab keselamatan, politik dan pertahanan.
"Rangka kerja undang-undang juga akan menjadikan pelabur dan institusi kewangan selesa dengan memberi pinjaman dan memastikan penanggung insurans memberi insurans kepada mereka. Semua ini akan membantu mengurangkan risiko untuk terbabit dalam industri itu.
"Sementara itu Akta Lembaga Angkasa Malaysia yang baru digubal, bertujuan untuk mewujudkan garis panduan kawal selia bagi menjalankan aktiviti berkaitan angkasa di negara ini," katanya.
-- BERNAMA