MOSTI diminta tangguh umum maklumat yang diperoleh daripada HIDE
Bernama
Mei 8, 2021 05:17 MYT
Mei 8, 2021 05:17 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) digesa menangguhkan segera pengumuman mengenai maklumat yang diperoleh daripada sistem Hotspot Identification by Dynamic Engagement (HIDE) sehingga asas yang jelas, tepat dan terperinci betul disertakan dengan maklumat yang dikeluarkan.
Gesaan itu dibuat oleh tiga persatuan yang mewakili pusat beli-belah dan industri peruncitan di seluruh negara dalam kenyataan bersama semalam iaitu Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA) dan Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA).
"Kami percaya bahawa memandangkan terdapat maklumat tidak tepat dalam senarai 'hotspot,' cadangan penutupan untuk sanitasi adalah sesuatu yang pramatang dan akan mendatangkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan terhadap persepsi serta pemulihan dan kelangsungan perniagaan.
"Cadangan penutupan ini sepatutnya ditangguhkan sehingga data yang digunakan dalam HIDE telah disahkan tepat dan lokasi hotspot dikenal pasti dengan tepat," kata ketiga-tiga persatuan.
Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata premis termasuk bazar Ramadan yang disenaraikan di bawah sistem HIDE sebagai lokasi berisiko COVID dalam penularan virus itu akan diarahkan tutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.
Sebelum itu, kerajaan mengeluarkan senarai pertama premis perniagaan dalam sistem HIDE yang dikenal pasti sebagai hotspot COVID-19 yang berpotensi menularkan pandemik tersebut.
Ketiga-tiga persatuan turut menekankan dan mengulangi bahawa keselamatan pelanggan adalah keutamaan di pusat beli-belah dan dengan kewujudan semua SOP yang diperlukan termasuk langkah meningkatkan pembersihan serta pembersihan berkala, pusat beli-belah adalah tempat yang selamat dikunjungi.
-- BERNAMA
#Ramadan
#SOP
#kerajaan
#keselamatan
#menteri
#Sains
#Malaysia
#COVID-19
#pandemik
#maklumat tidak tepat
#hotspot
#HIDE
#pusat beli-belah
#MOSTI
#tangguh
#pengumuman
#persatuan
#industri peruncitan
#tutup premis
#Bazar Ramadan