MOSTI dapati kadar penembusan modal teroka Malaysia naik 0.25-0.35 peratus menjelang 2030
Bernama
April 1, 2024 22:40 MYT
April 1, 2024 22:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengunjurkan kadar penembusan modal teroka Malaysia meningkat 0.25 hingga 0.35 peratus dan bernilai sekitar US$1.4 bilion (US$1=RM4.7) menjelang 2030, melalui Pelan Hala Tuju Modal Teroka Malaysia (MVCR) untuk 2024-2030 yang baru dilancarkan hari ini.
Kadar penembusan modal teroka negara berada pada 0.19 peratus pada 2022, dan ia bernilai US$758 juta.
Ketua Pegawai Operasi Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) Noor Amy Ismail berkata kerajaan memberi penumpuan kepada pembinaan ekosistem modal teroka tempatan, terutamanya daripada perspektif pembiayaan.
"Kita harap MVCR akan dapat menanganinya (beberapa isu penting yang dihadapi oleh komuniti modal teroka pada masa ini) kerana kami perlu membina laluan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran pelan hala tuju itu di sini.
Sementara itu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata negara telah menyaksikan kemajuan luar biasa dalam landskap modal teroka sejak beberapa tahun lalu, yang mana industri modal teroka Malaysia telah mengalami pertumbuhan ketara dengan jumlah pembiayaan meningkat pada Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) sebanyak 44 peratus dari 2018 hingga 2022.
"Dengan ekosistem syarikat pemula yang semakin berkembang dan rangka kerja kawal selia yang menyokong, Malaysia telah menjadi destinasi yang semakin menarik bagi pelabur yang mencari peluang yang menjanjikan.
"Dari fintech kepada bioteknologi, e-dagang kepada tenaga boleh diperbaharui, syarikat pemula Malaysia membuat gelombang merentasi pelbagai sektor, mempamerkan bakat-bakat yang pakar dan pintar dalam lingkungan sempadan kita," kata beliau ketika berucap di majlis berkenaan.
Dihasilkan melalui kerjasama yang teliti dan berpandangan jauh, Chang berkata pelan hala tuju itu ditetapkan untuk mencetuskan inovasi, memupuk keusahawanan dan memacu pertumbuhan ekonomi di seluruh negara.
"MVCR benar-benar mewakili komitmen berani oleh kerajaan dan peserta industri berkaitan modal teroka untuk memupuk ekonomi yang dipacu inovasi di Malaysia.
"Dengan memperuntukkan sumber-sumber secara strategik dan memupuk persekitaran kawal selia yang kondusif, kami menyasarkan bagi meletakkan Malaysia sebagai destinasi pilihan untuk modal teroka di rantau ini," katanya.
Melalui pandangan dan sumbangan daripada pemimpin dan pakar industri, MAVCAP berkata MVCR ialah pelan tindakan berwawasan untuk melonjakkan Malaysia ke barisan hadapan dalam landskap inovasi global.
Pelan hala tuju itu menekankan peruntukan strategik, pembaharuan kawal selia dan pembinaan kapasiti yang direka untuk memastikan pertumbuhan mampan dan keterangkuman dalam ekosistem modal teroka.
MVCR turut disasarkan bagi memudahkan peningkatan kejayaan perniagaan dengan pelan hala tuju yang merangkumi 11 intervensi yang bertujuan untuk memangkin pertumbuhan dalam ekosistem modal teroka.
Intervensi itu akan berada di bawah tiga strategi utama, iaitu Kemudahan Menjalankan Perniagaan; Menambah Baik Kebolehcapaian Pembiayaan; dan Meningkatkan Kumpulan Bakat Modal Teroka Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif MAVCAP Shahril Anas Hasan Aziz berkata MVCR menandakan detik yang tidak pernah berlaku sebelum ini dalam evolusi ekonomi Malaysia.
"Melalui intervensi dan perkongsian strategik yang disasarkan, kami menyasarkan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam sektor modal teroka dan memacu pertumbuhan ekonomi yang diterajui oleh inovasi.
"Adalah jelas bahawa rangka kerja strategik dan strategi pelaksanaan ini bukan sekadar rancangan tetapi ia adalah langkah penting ke arah transformasi masa depan bagi ekosistem modal teroka Malaysia," katanya.
Shahril berkata MVCR juga menggariskan empat sasaran yang bercita-cita tinggi, termasuk meningkatkan kadar penembusan usaha niaga, mengukuhkan rangka kerja kawal selia, dan menggalakkan bilangan profesional modal teroka dan syarikat modal teroka di Malaysia menjelang 2030.
MVCR, dengan pelan intervensi berperingkat yang difikirkan dengan baik, berjalan dari 2024 hingga 2030 dan mencerminkan komitmen mendalam oleh semua pihak untuk mengembangkan ekosistem semasa menjadi hab untuk aktiviti modal teroka yang lebih dinamik, cekap dan menarik.
-- BERNAMA