MOSTI, Cradle Fund bakal teraju inisiatif pemula niaga ASEAN

Bernama
Julai 25, 2024 09:52 MYT
Chang Lih Kang berkata Inisiatif Pemula Niaga ASEAN itu disasarkan untuk merangsang ekosistem pemula niaga di seluruh rantau menerusi penyepaduan ekonomi dan pembangunan inklusif. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi agensi pemula niaga tempatannya Cradle Fund Sdn Bhd akan menerajui inisiatif Pemula Niaga ASEAN di bawah sektor sains, teknologi dan inovasi (STI).
Insiatif Pemula Niaga ASEAN itu disokong oleh Jawatankuasa ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi (COSTI) pada Jun 2023 dengan kemas kini terbaharu semasa Mesyuarat ASEAN COSTI ke-85 pada awal Jun 2024.
Menteri MOSTI Chang Lih Kang berkata Inisiatif Pemula Niaga ASEAN itu disasarkan untuk merangsang ekosistem pemula niaga di seluruh rantau menerusi penyepaduan ekonomi dan pembangunan inklusif.
Beliau berkata inisiatif itu juga selari dengan peranan MOSTI sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia.
"Kami telah mula beralih menumpu kepada inisiatif ini bagi 2025.
"Saya sangat teruja untuk mengumumkan bahawa cadangan Priority Economic Deliverable (PED) 2025 di bawah sektor STI bertajuk "ASEAN Technology Startup Ignite" telah disahkan oleh ASEAN COSTI-85 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Sains, Teknologi dan Inovasi ke-20 (AMMSTI-20)," katanya menerusi ucap tamanya beliau pada Persidangan Tech in Asia 2024, di sini, hari ini.
Chang berkata pelancaran rasmi portal Pemula Niaga ASEAN yang dikuasakan kecerdasan buatan (AI) itu dan program kapasiti seperti pertandingan pembentangan idea dan program pemecut pemula niaga akan menjadi output utama daripada cadangan PED 2025.
"Output utama lain termasuk Festival Pemula Niaga ASEAN-India 2025 dan Pernyataan atau Deklarasi mengenai Memperkasakan syarikat pemula niaga teknologi ASEAN untuk meraih sokongan daripada semua negara anggota bagi mengembangkan rangkaian pemula niaga global," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Norman Matthieu Vanhaecke berkata salah satu acara utama di bawah inisiatif itu ialah Festival Pemula Niaga ASEAN yang akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan.
"Kami akan melakukan sesuatu yang berbeza berbanding program pemula niaga peringkat ASEAN lain, tetapi kami sedang giat merancang dengan semua pemain pemula niaga tempatan dan serantau untuk memastikan ia akan menjadi acara yang membawa impak yang besar.
"Tahun depan kami akan mendedahkan butiran terperinci dan akan mempelawa semua orang daripada syarikat pemula niaga tempatan hingga serantau untuk menyertai acara itu," katanya kepada Bernama di luar persidangan tersebut.
-- BERNAMA
#MOSTI #Chang Lih Kang #Inisiatif Pemula Niaga ASEAN #cradle fund