MOSTI bangunkan standard reka bentuk bangunan tahan gempa

Astro Awani
November 30, 2017 03:00 MYT
Standard ini dapat membantu dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat menerusi perancangan kemajuan pembangunan yang sistematik, terancang dan berdaya tahan terhadap bencana gempa bumi. - Gambar hiasan
Malaysia sudah membangunkan Malaysian Standard (MS) bagi kod reka bentuk bangunan tahan gempa bumi sebagai tindak balas terhadap kejadian gempa bumi di Sabah pada 2015.
“Pembangunan standard ini adalah merupakan tindakan pantas dan responsif kerajaan terhadap tragedi gempa bumi berukuran 6.0 pada skala Richter yang melanda daerah Ranau dan Kundasang pada 5 Jun 2015,” jelas Datuk Seri Madius Tangau, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui satu kenyataan.
Jelasnya MS ini melibatkan dua fasa dan dibangunkan dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.
Fasa pertama adalah melibatkan pembangunan MS EN 1998-1:2015 yang diluluskan pada 11 Ogos 2015.
Manakala fasa kedua yang baru siap ini, adalah pembangunan Malaysia National Annex to Eurocode 8: “Design of Structures for Earthquake.
“Standard yang dibangunkan ini akan menyediakan garis panduan kepada pihak berkuasa tempatan berkenaan reka bentuk struktur bangunan yang tahan kepada gempa bumi,” jelas kenyataan itu.
Tambahnya standard ini juga dapat membantu dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang selamat menerusi perancangan kemajuan pembangunan yang sistematik, terancang dan berdaya tahan terhadap bencana gempa bumi.
Bagaimanapun pematuhan kepada MS ini adalah secara sukarela sehinggalah ianya diwartakan atau dirujuk dalam akta atau peraturan teknikal di peringkat negeri.
#Datuk Seri Madius Tangau #earthquake #gempa bumi #kerajaan #Malaysia #Malaysia Standard #menteri #Menteri Sains Teknologi dan Inovasi #MOSTI #MS #MS EN 1998-1 2015 #Sabah #Sains #standard
;