MOSTI bangun ekosistem pengaplikasian teknologi dron dalam pertanian

Bernama
April 30, 2023 19:50 MYT
Penggunaan teknologi dron mampu membantu meningkatkan hasil pertanian, mengurangkan kebergantungan pekerja asing serta memberi peluang pekerjaan kepada para petani. - Gambar hiasan
KENINGAU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) sedang berusaha membangunkan ekosistem pengaplikasian teknologi dron dalam bidang pertanian bagi membantu meningkatkan hasil pendapatan petani dan peladang.
Timbalan Menterinya, Datuk Arthur Joseph Kurup, berkata penggunaan teknologi dron mampu membantu meningkatkan hasil pertanian, mengurangkan kebergantungan pekerja asing serta memberi peluang pekerjaan kepada para petani, terutama di kawasan luar bandar.
"Kajian menunjukkan penggunaan dron dalam sektor pertanian dapat memberikan maklumat tepat kepada petani dalam penggunaan racun dan baja serta status kesihatan tanaman.
"Ini membolehkan peningkatan produktiviti tanaman sekitar 30 peratus dan pengurangan kos operasi sebanyak 20 peratus dan sekaligus menyumbang kepada peningkatan pendapatan para pekebun," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, bidang sains, teknologi dan inovasi (STI) mempunyai potensi sangat besar yang dapat menawarkan penyelesaian terbaik, termasuklah dalam sektor pertanian dan perladangan.
Kerajaan melalui MOSTI komited menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak berkaitan bagi mengadaptasikan teknologi penyelesaian yang memberi impak berkesan dalam memastikan sekuriti bekalan makanan terjamin dengan kos berpatutan.
-- BERNAMA
#MOSTI #teknologi dron #bidang pertanian #Arthur Joseph Kurup
;