MOSTI akan bangunkan Large Language Model, sokong ekosistem AI tempatan
Hasimi Muhamad
November 18, 2024 11:40 MYT
November 18, 2024 11:40 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi akan membangunkan Large Language Model (LLM) atau model bahasa besar tersendiri dalam usaha menyokong ekosistem kecerdasan buatan (AI) tempatan dan mengurangkan kebergantungan kepada teknologi AI di luar negara.
Timbalan Menterinya, Datuk Mohammad Yusof Apdal berkata, pembangunan LLM tersebut akan mematuhi Garis Panduan Tadbir Urus dan Etika Kecerdasan Buatan Negara (AIGE) yang dilancarkan pada September lalu.
Menurut beliau, pematuhan terhadap garis panduan berkenaan akan dapat memastikan LLM yang dibangunkan tidak mengabaikan nilai dan budaya setempat.
"MOSTI telah mengadakan beberapa sesi perbincangan bersama beberapa kementerian dan agensi kerajaan seperti Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Digital, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Perladangan dan Komoditi dan Jabatan Perdana Menteri untuk membangunkan LLM tempatan," katanya di Dewan Rakyat, di sini, pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) sama ada kementerian akan membangunkan LLM tersendiri serta apakah langkah yang diambil untuk memastikan nilai dan budaya setempat tidak terabai kerana sehingga kini tiada sebarang mekanisme kawalan AI yang digubal.
Jelas beliau, MOSTI melalui MIMOS juga kini sedang meneroka penggunaan infrastruktur pengkomputeran dengan kos kompetitif yang mampu mengendalikan dan memperhalusi data hak milik dengan selamat.
Ini kerana, katanya, pembangunan LLM atau model AI melibatkan kos yang tinggi dan memerlukan peralatan khusus yang lazimnya dilaksanakan di pusat pengkomputeran berprestasi tinggi berasaskan awan atau 'cloud base.'
"MOSTI telah memulakan kolaborasi dengan Phison melalui penggunaan teknologi aiDAPTIV+ yang telah membuktikan mengenai pengurangan kos, dengan menyediakan platform yang membolehkan penyesuaian dan pengoptimuman model AI di premis sendiri.
"Peningkatan keselamatan data pula, aiDAPTIV membolehkan pengguna melatih dan mengoptimumkan model AI menggunakan data rahsia di premis mereka sendiri, mengurangkan risiko kebocoran data," tambah beliau.
Menjawab soalan tambahan Chean Chung pula, Mohammad Yusof menambah, MOSTI sedang meneliti kemungkinan untuk membangunkan LLM dalam bahasa Malaysia dengan kerjasama universiti dan syarikat tempatan.
Tambah beliau, kerjasama itu akan turut melibatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada masa hadapan bagi memperkayakan bahasa Malaysia.