MOSTI akan bangun platform perkongsian data mentah penyelidikan

Bernama
April 16, 2022 21:32 MYT
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Seri Adham Baba berucap pada Majlis Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia dan Ihya Ramadan Tenggara di Dewan Serbaguna Sri Kembaran hari ini. - Foto BERNAMA
BANDAR TENGGARA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bakal membangunkan sebuah platform perkongsian data mentah penyelidikan bagi memudahkan penyelidik menjalankan tugas sekali gus menjimatkan kos penyelidikan.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba berkata data mentah itu, yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini, akan dihimpun oleh Akademi Sains Malaysia (ASM) menerusi Platform Sains Terbuka Malaysia (MOSP).
"Melalui inisiatif ini, penyelidik dapat melakukan kerja-kerja penyelidikan dengan terangkum dan adalah dianggarkan kerajaan dapat melakukan penjimatan kos kerja-kerja penyelidikan sekurang-kurangnya RM500 juta setahun.
"Platform baharu ini akan menghubungkan lima universiti penyelidikan negara di bawah projek rintis MOSP dan MOSP akan menjadi pintu gerbang kepada data mentah penyelidikan yang merupakan aset berharga negara," katanya ketika berucap pada Majlis Minggu Sains Negara Keluarga Malaysia dan Ihya Ramadan Tenggara di sini hari ini.
Pada sidang media, beliau berkata MOSTI menerusi ASM akan melancarkan Buku Modul Komunikasi Sains pada 26 April ini.
Beliau berkata buku itu akan memberi panduan kepada para penyelidik termasuk saintis, ahli akademik, guru dan petugas media menyampaikan ilmu sains melalui pendekatan serta kaedah yang lebih mudah difahami.
"Ia sejajar dengan tema yang diangkat MOSTI iaitu Merakyatkan Sains dan Menginsankan Teknologi agar sains dan teknologi lebih dekat di hati Keluarga Malaysia.
"Pada tarikh pelancaran buku itu juga, akan diadakan sesi libat urus bersama saintis muda daripada Young Scientist Network (YSN)," katanya.
-- BERNAMA
#MOSTI #platform perkongsian data #data mentah #Dr Adham Baba #MOSP #Akademi Sains Malaysia
;