Morbidelli tidak sabar untuk cabar Rossi
Bernama
Januari 28, 2019 22:35 MYT
Januari 28, 2019 22:35 MYT
Pelumba Rookie Terbaik MotoGP 2018 Franco Morbidelli bersedia untuk mencabar jagoan MotoGP Valentino Rossi pada Kejuaraan Dunia MotoGP 2019.
"Ia satu penghormatan untuk dapat menunggang motosikal yang sama seperti digunakan (Valentino) Rossi. Ia satu motivasi untuk saya dapat menunggang motosikal ini.
"Saya akan cuba mengalahkan dia dalam perlumbaan. Itu misi kami dan itulah apa yang kami (pasukan) mahu lakukan," kata Morbidelli pada sidang media di Dewan Philharmonic Petronas di sini pada Isnin
Pelumba berusia 24 tahun itu merupakan lulusan Akademi VR46, yang dimiliki dan dimajukan oleh Rossi, akan menunggang untuk pasukan MotoGP Malaysia yang pertama, Petronas Yamaha Sepang Racing Team.
Pelumba dari Itali itu akan menggunakan jentera Yamaha YZR-M1, yang mempunyai spesifikasi sama seperti pasukan pengeluar, kerana pasukan itu mempunyai hubungan yang rapat dengan Yamaha Motor Co. Ltd.
Terdahulu semasa majlis pengenalan pasukan, Morbidelli berkata: "Sejujurnya, ini benar-benar hebat, semua orang sangat teruja dan komited kepada pasukan.
"... Saya tidak sabar untuk memulakan ujian minggu ini dan ujian rasmi MotoGP pertama di Litar Antarabangsa Sepang. Kami semua mempunyai tugas yang banyak untuk dilakukan dan saya tidak sabar untuk menunggang semula motosikal ini dan bersama pasukan untuk meneruskan penambahbaikan dan persediaan untuk memulakan musim ini di Qatar," katanya.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Fabio Quartararo menyatakan pandangannya sebagai pelumba paling muda dalam kelas perdana 2019 selepas naik dari kelas Moto2.
"Ini satu perubahan yang besar bagi saya, kuasa motosikal, brek, elektronik, ia satu perubahan besar dari Moto2. Kami tahu, banyak yang perlu kita pelajari dari ujian ini sebagai persediaan untuk musim ini," kata pelumba berusia 19 tahun dari Perancis itu.
"Kami mempunyai enam hari untuk ujian sebelum perlumbaan pembukaan di Qatar, jadi saya akan melakukan segala yang mungkin, bersedia untuk pembukaan grand prix," katanya.
Sebagai pelumba kelas perdana yang baharu, Quartararo menyatakan hasrat untuk menjadi Pelumba Rookie terbaik 2019.
"Kami akan bekerja keras untuk mencapainya," katanya.
Tugas pertama Morbidelli dan Quartararo adalah ujian pra musim pada 2019 pada 6-8 Feb di Litar Antarabangsa Sepang.
Bersama dua pelumba MotoGP ketika majlis pengenalan pasukan itu termasuklah pelumba Petronas Sprinta untuk Moto2, Khairul Idham Pawi dari Malaysia dan pelumba Moto3, Ayumu Sasaki (Jepun) dan John McPhee (Scotland).
-- BERNAMA
#franco morbidelli
#kejuaraan dunia
#MotoGP
#pelumba motor
#Petronas
#rookie of the year
#Valentino Rossi