Moratorium: Sedarlah BNM, andaian 'on paper' tidak sama dengan realiti - Shahril

Harits Asyraf Hasnan
Jun 27, 2021 17:49 MYT
Alasan yang menyatakan kononnya operasi bank akan terjejas apabila melaksanakan moratorium automatik, tidak boleh diterima akal. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Bank-bank komersial di Malaysia mempunyai nisbah modal yang mencukupi, jauh lebih tinggi daripada had minima yang ditetapkan.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan berkata, alasan yang menyatakan kononnya operasi bank akan terjejas apabila melaksanakan moratorium automatik tidak boleh diterima akal.
Malah, beliau mempersoal mengapa bank-bank mampu melakukan moratorium automatik tahun lalu, tetapi tidak ketika ini di mana tekanan kehidupan rakyat semakin bertambah.
"Apa yang mungkin pihak berkuasa terutama Bank Negara Malaysia (BNM) kena sedar adalah, apa yang ada di atas kertas dan apa yang realiti semasa adalah berbeza.
"Mungkin mereka (bank) katakan moratorium bersasar cukup bagus kerana hanya mereka yang layak akan dapat. Tetapi itu hanya atas kertas, realitinya berbeza.
"Ini yang saya rasakan pembuat dasar baik kerajaan atau institusi seperti BNM atau bank-bank lain tidak sedar realiti sebenarnya," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Shahril pada masa sama memberi dua andaian berkenaan masalah yang mendepani mereka yang ingin memohon bantuan secara bersasar.
"Pertama, kita andaikan bahawa semua yang memerlukan (moratorium) akan memohon dan kedua kita andaikan semua yang memohon akan dapat.
"Saya nak tanya BNM, adakah BNM yakin kedua-dua andaian itu betul? Kita lihat adakah semua orang yang memerlukan mampu mohon? Bagaimana dari segi birokrasi? Bergantung kepada orangnya? Bergantung kepada keadaanya?
"Tidak semua mempunyai kemahiran, nampak macam senang. Kalau letakkan diri sebagai bank, memang nampak senang; tetapi realitinya kita tahu, tak semua yang memerlukan ada kesedaran atau kemampuan atas apa-apa sebab untuk mohon," katanya.
Beliau turut mengaitkan situasi dialami pemohon moratorium yang terpaksa berdepan pelbagai birokrasi terutama mereka yang bergaji hari atau tiada slip gaji.
"Andaiannya adalah, siapa yang mohon, kalau layak, pasti dapat. Kita tengok laporan-laporan berita menerusi kenyataan-kenyataan beberapa kes di mana ada yang perlu buktikan bahawa pendapatan dia terjejas.
"Kalau dia ada slip gaji, mungkin mudah. Bukan semua orang di Malaysia ini ada slip gaji.
"Kita tengok laporan Jabatan Perangkaan Malaysia tahun lepas yang menyatakan dua hingga tiga juta rakyat Malaysia adalah pekerja tidak formal atau bekerja sendiri.
"Maam mana nak tunjukkan pendapatan dia jatuh kalau gaji dia harian, atau sebagainya? Nak tunjuk slip akaun bank, barulah bank nak terima?
"Itu pun kita nampak banyak kes di mana bank-bank tidak terima pun ia sebagai bukti pendapatn terjejas," tegas Shahril
Justeru, beliau sifatkan dua andaian yang dibuat itu merupakan andaian yang tidak berlaku di dunia yang nyata.
Malah, beliau mengharapkan ada kesedaran dalam kalangan bank termasuk BNM bahawa perlu moratorium automatik kerana ia sesuatu yang amat diperlukan rakyat di masa ini.
#Bank Negara Malaysia #Moratorium #Shahril Hamdan #moratorium automatik #birokrasi #mohon moratorium #kewangan #tekanan kewangan #bantuan kewangan
;