Moorthy penipu besar, pengkhianat negara - Dr MAZA

Sinar Harian
November 18, 2018 18:20 MYT
Mohd Asri juga melabelkan Moorthy sebagai pengkhianat kerana memburukkan nama Malaysia di luar negara. -Foto Sinar Harian
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menempelak Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy sebagai penipu besar berhubung hak asasi di negara ini.
Malah, Mohd Asri juga melabelkan Moorthy sebagai pengkhianat kerana memburukkan nama Malaysia di luar negara.
"Penipu besar yang mengkhianat negara," katanya ringkas di Facebooknya yang mengulas berhubung kenyataan Moorthy menerusi sebuah video berdurasi 2 minit 39 saat yang tular kini.
Kelmarin video lama Moorthy tular di media sosial dengan kandungan memburukkan negara termasuk kononnya Malaysia menghadapi masalah pencabulan hak asasi yang kronik.
Selain itu, antara kandungan kenyataan Moorthy adalah mendakwa bahawa 'Malaysia hanya indah khabar daripada rupa'.
Katanya, ramai pihak luar menganggap Malaysia adalah negara Islam yang moden dan sederhana, tetapi realitinya adalah sebaliknya.
"Jika mereka didedahkan dengan pelanggaran besar hak asasi manusia di Malaysia, mereka sudah pastinya tidak akan sanggup untuk menjadi rakan dagangan dengan Malaysia," petik kenyataannya.
Difahamkan video itu dirakam di Belanda ketika Moorthy hadir ke negara berkenaan bagi 'meluahkan perasaan' mengenai perihal Malaysia.
#Dr Maza #memburukkan nama Malaysia #Mohd Asri Zainul Abidin #Mufti Perlis #pencabulan hak asasi #pengkhianat #penipu besar #Waytha Moorthy
;