Monsun Timur Laut berakhir 23 Mac, fasa Peralihan Monsun pula bermula - MetMalaysia

Fareez Azman
Mac 20, 2023 16:35 MYT
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan fasa Peralihan Monsun bermula 23 Mac sehingga pertengahan Mei depan. - Fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan Monsun Timur Laut yang melanda negara ketika ini bakal berakhir pada 23 Mac sebelum fasa Peralihan Monsun pula bermula sehingga pertengahan Mei depan.
Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, permulaan fasa peralihan itu menandakan berakhirnya Monsun Timur Laut yang melanda negara sejak 7 November tahun lalu.
"Semasa fasa Peralihan Monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
"Kejadian ini berlaku terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di negeri-negeri di Pantai Barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak," menurut satu kenyataan pada Isnin.
Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca itu juga berpotensi menyebabkan banjir kilat serta kerosakan pada struktur tidak kukuh.
Orang ramai juga dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan peka dengan ramalan serta amaran cuaca dikeluarkan MetMalaysia.
"Orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut," jelas kenyataan itu lagi.
#peralihan monsun #monsun timur laut #MetMalaysia #banjir kilat
;