Monsun Barat Daya: Panggilan kebakaran terbuka di empat negeri meningkat
Bernama
Julai 29, 2024 22:05 MYT
Julai 29, 2024 22:05 MYT
PUTRAJAYA: Jumlah panggilan kes kebakaran terbuka di empat negeri iaitu Perak, Selangor, Johor dan Sarawak mencatatkan peningkatan mendadak melebihi 100 panggilan sehari pada minggu lepas, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata lebih 100 panggilan direkodkan pada Khamis dan Jumaat lepas serta mencecah kepada 249 panggilan pada Sabtu dan 244 pada semalam.
Nor Hisham berkata purata panggilan kes kebakaran terbuka diterima JBPM adalah 50 hingga 60 sehari, namun berlaku lonjakan mendadak kerana negara kini dalam fasa Monsun Barat Daya.
"Kerisauan saya paling besar adalah kebakaran terbuka yang biasanya melibatkan kawasan luas dan mengambil masa lama untuk padamkan kebakaran," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan JBPM di sini hari ini.
Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan taburan hujan rendah berlarutan hingga fasa peralihan monsun bermula yang akan menyebabkan cuaca lebih panas dan kering hingga pertengahan September ini susulan Monsun Barat Daya.
Bagi tempoh 17 Mei hingga Sabtu lepas, Nor Hisham berkata JBPM merekodkan 2,491 kes kebakaran terbuka melibatkan antaranya kebun, belukar dan sampah.
Beliau berkata Perak merekodkan kes kebakaran terbuka tertinggi sebanyak 515 kes, diikuti Selangor (344) dan Terengganu (289).
"Pada Jun, sebanyak 685 kes kebakaran terbuka direkodkan," katanya.
Susulan peningkatan kes kebakaran terbuka, Nor Hisham berkata pihaknya akan melaksanakan operasi dengan lebih efisien serta mengenal pasti lokasi kerap berlaku kebakaran.
"Kita ada kawasan kita kenal pasti seperti tempat pelupusan sampah dan lakukan pemantauan rapi," katanya sambil menambah operasi turut melibatkan pasukan bomba komuniti.
-- BERNAMA