Monsun Barat Daya dijangka mula pada 18 Mei, hujan berkurangan

Bernama
Mei 14, 2020 18:02 MYT
Orang ramai disaran supaya mengurangkan aktiviti luar, mengelakkan dari melakukan pembakaran terbuka, minum air yang banyak dan memakai penutup hidung dan mulut. - Gambar hiasan
Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 18 Mei dan akan berterusan sehingga pertengahan September ini, menyebabkan kurangnya pembentukan awan yang menghasilkan hujan dalam tempoh berkenaan.
Jabatan Meteorologi dalam kenyataan hari ini berkata, taburan hujan di kebanyakan negeri dijangka berada pada paras purata kecuali negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak yang akan menerima hujan sedikit melebihi purata pada bulan Ogos dan September.
"Manakala, kawasan barat dan pedalaman Sarawak dijangka menerima hujan sedikit melebihi purata pada bulan Mei dan Jun, sementara timur Sabah dijangka menerima hujan sedikit bawah purata pada bulan September dan Oktober".
"Keadaan ini berpotensi menyebabkan cuaca yang agak kering serta menyebabkan kebakaran hutan dan jerebu di sesetengah tempat. Jerebu tempatan atau merentas sempadan boleh berlaku sekiranya terdapat pembakaran terbuka yang tidak terkawal," menurut kenyataan itu.
Orang ramai disaran supaya mengurangkan aktiviti luar, mengelakkan dari melakukan pembakaran terbuka, minum air yang banyak dan memakai penutup hidung dan mulut yang bersesuaian sekiranya keadaan berjerebu.
-- BERNAMA
#cuaca #cuaca kering #hujan #iklim #monsun #Monsun Barat Daya #Taburan hujan
;