Monopoli beras: Syed Mokhtar peruntuk RM10 juta kepada pesawah padi - PM Anwar
Hasimi Muhamad
Disember 5, 2022 16:52 MYT
Disember 5, 2022 16:52 MYT
PUTRAJAYA: Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary bersetuju untuk memperuntukan sebanyak RM10 juta pada bulan ini kepada para pesawah padi miskin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia dicapai selepas beliau berbincang dan menegur Syed Mokhtar agar mengurangkan tindakan memonopoli beras dalam negara.
Tegas Anwar, kerajaan tidak akan membenarkan berlaku pembolotan harta oleh tokoh-tokoh politik terhadap golongan pesawah padi.
“Jadi beliau (Syed Mokhtar) tentunya mempunyai tanggungan untuk membayar balik tetapi saya ingin memberi jaminan kerajaan di bawah pimpinan saya tidak lagi akan mengizinkan cara pembolotan kekayaan oleh tokoh-tokoh politik dengan begitu mudah, 'menghisap darah' pesawah padi yang miskin.
“… Dan sekarang umpamanya kita tidak boleh bebankan Syed Mokhtar seorang sehingga kita dapat teliti keuntungan dan sama ada pulangan itu berpatutan.
“Tetapi saya telah gesa beliau untuk buat sesuatu segera. Maka, beliau peruntukan pada bulan ini sebanyak RM10 juta kepada petani dan pesawah padi dan mulai tahun depan RM50 juta daripada Bernas,” katanya dalam sidang media di sini pada Isnin.
Jelas Anwar lagi, import beras perlu dilakukan secara adil memandangkan kebenaran itu diberikan kepada Bernas dan bukan kepada Syed Mokhtar.
Dalam pada itu, Anwar memberi jaminan dasar dirangka pentadbiran terdahulu serta Rang Undang-undang (RUU) yang masih di peringkat perbahasan ketika Parlimen dibubarkan, akan diteruskan jika ia baik dan tidak bermasalah.
Ia termasuk RUU berkaitan Dasar Generasi Penamat (GEG) yang dibawa Kementerian Kesihatan (KKM) dan RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dibentangkan Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin.
“Yang baik, perjanjian baik, kontrak yang baik, tidak ada masalah, kita akan ikut.
“Jika jelas umpamanya tender tu berbilion (ringgit) tidak ikut perolehan atau projek yang diluluskan berbilion, ratus bilion tidak ikut tender, tidak ikut proses, tentu kita harus teliti semula.
"Ini bukan wang saya, ini wang rakyat,” ujarnya lagi.