'Money boy' gejala sosial runtuh moral Gen-Y
Marlina Manaf
Mei 9, 2015 22:20 MYT
Mei 9, 2015 22:20 MYT
Satu lagi gejala sosial melibatkan golongan lelaki generasi Y kini mula menular.
‘Money Boy’, gejala melibatkan penawaran khidmat seks kepada golongan sejenis demi kehidupan mewah.
Perlakuan tersebut jauh menyimpang daripada batas norma agama mahupun sosial.
Namun, dek kerana permintaan tinggi dan bayaran lumayan, urus niaga seks ini dianggap halal dan kini menjadi satu lagi gejala sosial dalam masyarakat.
Menurut pakar sosial dari UPM, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, pendedahan dibuat hasil kajiannya dari 2010 hingga 2012.
Gejala ini menurutnya semakin menular dalam masyarakat tanpa disedari.
‘Money Boy’ terdiri daripada lelaki berusia antara 15 ke 30 tahun yang menawarkan pelbagai perkhidmatan seks kepada pelanggan lelaki berusia 40 tahun ke atas.
Bukan calang-calang individu boleh jadi ‘Money Boy’.
Wajah tampan, berbadan sasa, termasuk fasih berbahasa Inggeris, adalah ciri-ciri ‘Money Boy’ yang menjadi kegilaan pelanggan.
Tanpa permintaan mustahil ada penawaran oleh ‘Money Boy’.
Kewujudan lelaki berumur yang sunyi akibat gagal dalam perkahwinan atau percintaan menyebabkan mereka beralih arah kepada ‘Money Boy’ sebagai pengganti.
Berdasarkan kajian Dr Mohammad Shatar, seorang ‘Money Boy’ boleh menjana pendapatan sampingan sehingga RM5,000 sebulan.
Kemajuan teknologi tidak dinafikan mempercepat penularan gejala ini.
Khidmat ditawar atas pelbagai platform digital, termasuk laman web sosial seperti Facebook, Twitter, menerusi akhbar mahupun contengan di tandas awam.
Khidmat diiklan seperti urutan badan khusus untuk lelaki.
Pelanggan kemudian bertemu penyedia perkhidmatan di lokasi-lokasi ‘Money Boy’ yang terkenal.
Antaranya, Bandar Tasik Permaisuri serta kolam renang Tun Abdul Razak di Cheras; lokasi panas yang lebih dikenali sebagai 'Jurassic Park' atau di bahagian belakang bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, DBKL; dan Kota Raya sekitar ibu kota.
Urusniaga dilakukan dari dalam kenderaan sebelum dipersetujui dan kemudian diikuti kunjungan ke hotel-hotel mewah.
‘Money Boy’cenderung memilih pelanggan kalangan warga asing yang lebih bermurah hati.
Bayaran dikenakan antara RM200 ke RM300 setiap perkhidmatan, atau RM500 bagi satu malam, atau di antara RM2,000 ke RM5,000 bagi bayaran bulanan.
Caj ini bagaimanapun tidak termasuk pemberian ganjaran berbentuk peranti canggih seperti telefon pintar, dan percutian ke luar negara.
Bagi Dr Mohammad Shatar, apa yang membimbangkan dan menjelikkan beliau adalah reaksi pelaku mahupun masyarakat terhadap gejala ‘Money Boy’.
Lebih menyedihkan, 85 peratus daripada mereka yang terlibat dalam ‘Money Boy’berketurunan Melayu.
Sikap tidak ambil peduli masyarakat dan rasa tidak bersalah kalangan ‘Money Boy’, menurut beliau, merisikokan pertumbuhan masa depan generasi Y.
Dalam kitaran gejala sosial, Dr Mohammad Shatar menegaskan ‘Money Boy’ berada di peringkat boleh diselamatkan.
Namun, apa yang membimbangkan beliau di peringkat ini, masyarakat berada di kitaran tidak kisah atau tidak ambil peduli.
Ini kerana mereka menganggap gejala itu belum jadi krisis kerana tidak melibatkan kalangan keluarga atau rakan terdekat.
Sikap tidak ambil peduli menurut Dr Mohammad Shatar mewujudkan generasi Y yang tiada batas moral, terjerumus dalam kegiatan sumbang.
“Tahap dia ketika ini orang tak kisah, kalau ikut teori pusingan sains sosial, kalau tak buat tindakan atau peringatan, ia akan jadi lebih serius, dan ketika itu dah terlewat untuk dicegah, jadi saya merasakan walaupun benda ini tidak seperti gejala dadah atau kes jenayah tapi kesan kepada masyarakat sangat besar,” tegas Dr Mohammad Shatar.
Gejala sudah menular, di peringkat ini, kata beliau, masyarakat perlu berganding bahu menuntut pencegahan.
Dr Mohammad Shatar juga menegaskan penyerapan nilai-nilai moral tinggi di kalangan generasi muda di peringkat pendidikan awal turut memainkan peranan mencegah gejala sosial daripada berlaku.