Mondelez tarik balik produk Cadbury Dairy Milk Bites Jolly Raisin 50g

Bernama
Oktober 1, 2024 17:37 MYT
Syarikat itu memaklumkan langkah berkenaan diambil kerana kumpulan produk yang bertarikh luput pada 27 April 2025 itu mengandungi kacang dan kismis, dan bukannya kismis sahaja. - FB Mondelēz International
KUALA LUMPUR: Mondelez International (Malaysia) hari ini mengumumkan penarikan balik secara sukarela produk Cadbury Dairy Milk Bites Jolly Raisin (50g) yang dikeluarkan pada 3 Feb 2024.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat makanan ringan itu memaklumkan langkah berkenaan diambil kerana kumpulan produk yang bertarikh luput pada 27 April 2025 itu mengandungi kacang dan kismis, dan bukannya kismis sahaja.
Menurut syarikat itu, produk berkenaan hanya dijual di Malaysia dan penarikan balik itu tidak menjejaskan sebarang produk Mondelez International yang lain atau mana-mana lokasi di luar negara.
"Di Mondelez International, keselamatan dan kesejahteraan pengguna menjadi keutamaan penting kami," menurut kenyataan itu.
Pengguna yang memiliki produk terbabit digalakkan menghubungi talian Perhubungan Pengguna Mondelez 1800-88-1939, dari 9 pagi hingga 6 petang, Isnin hingga Jumaat.
"Syarikat menawarkan bayaran balik penuh atau penggantian untuk produk yang dipulangkan. Mondelez International terus komited terhadap keselamatan dan kesejahteraan pengguna dan menghargai pemahaman dan kerjasama semasa proses ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
#Mondelez International #tarik balik #produk Cadbury Dairy Milk Bites #Malaysia #mmengandungi kacang dan kismis
;