KUALA LUMPUR: Momentum transformasi ekonomi Malaysia dijangka meningkat pada 2024, mencerminkan asas kukuh dan keyakinan pelabur, disokong oleh dasar yang kukuh, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Beliau berkata rangka kerja Ekonomi MADANI, yang menggariskan strategi baharu untuk pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mengenal pasti industri pertumbuhan baru muncul telah membuahkan hasil yang positif seperti yang ditunjukkan oleh pengembangan berterusan ekonomi.

"Pertumbuhan 4.2 peratus yang memberangsangkan pada suku pertama 2024 menunjukkan dasar dan pengurusan ekonomi kerajaan adalah berkesan.

"Kami optimis keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk berkembang dalam jajaran unjuran rasmi antara empat peratus dan lima peratus pada 2024," katanya semasa menyampaikan ucap tama pada Persidangan Akauntan Antarabangsa Institut Akauntan Malaysia (MIA), 2024, hari ini.

Persidangan dua hari itu, bertemakan "Navigating New Frontiers, Embracing Sustainability" sejajar dengan matlamat MIA untuk memastikan profesion akauntan dapat menyokong pembinaan negara yang mampan pada masa depan.

Amir Hamzah berkata pelabur global semakin berminat dengan naratif pembaharuan, seperti yang dicerminkan menerusi keyakinan terhadap pasaran modal domestik.

Keyakinan ini ditunjukkan menerusi pencapaian FBM KLCI yang mencecah paras tertinggi baharu dan kemasukan pelaburan langsung asing daripada syarikat global utama seperti Microsoft, Google, ByteDance, Infineon Technologies dan Tesla.

Semasa acara itu, MIA melancarkan Pelan Tindakan Kelestarian MIA bagi Profesion Perakaunan.

Presiden MIA Datuk Seri Dr Mohamad Zabidi Ahmad berkata pelan tindakan itu mencerminkan komitmen MIA terhadap amalan mampan dan bertujuan untuk menyediakan garis panduan bagi menyokong akauntan menerapkan kemampanan sebagai sebahagian daripada peranan mereka dan dalam organisasi mereka.

"MIA juga terus menyokong transformasi digital bagi memastikan profesion itu sesuai pada masa hadapan dan relevan dalam ekonomi digital," katanya.

Hampir 3,800 delegasi menghadiri persidangan MIA itu tahun ini secara fizikal dan juga maya.

-- BERNAMA