Momentum penguatkuasaan pematuhan larangan merokok perlu dipertingkat - Pakar

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 24, 2022 14:56 MYT
Penguatkuasaan larangan merokok terutamanya di tempat makan wajar diperkemaskan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Tindakan penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok terutama di tempat makan dan di tempat awam adalah wajar dilaksanakan.
Ia bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan perokok terutamanya membabitkan golongan muda terhadap bahaya tabiat tersebut kepada orang ramai.
Menurut Pakar Perubatan Respiratori Hospital Pantai Kuala Lumpur Dr Helmy Haja Mydin, bagaimanapun tahap penguatkuasaan sedia ada ketika ini masih boleh diperkemaskan dari semasa ke semasa bagi menjamin pelaksanaan larangan itu berjalan dengan baik.
“Saya rasa sebenarnya tak adalah majoriti perokok mengabaikan larangan merokok di tempat-tempat tersebut, kebanyakan memang mengikut peraturan. Tapi seperti biasa, akan adalah sesetengah individu yang mengambil kesempatan untuk merokok dan menghisap vape sekiranya tidak ditegur.
“Buat masa sekarang ada kekurangan dari segi penguatkuasaan terutamanya semasa PKP. Ia kurang mendapat perhatian berbanding isu-isu lain sebelum ini tetapi ada peningkatan dari segi penguatkuasaan,” jelasnya kepada Astro AWANI.
Tingkat penguatkuasaan larangan merokok
Tambahnya lagi, penguatkuasaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) semakin dipertingkatkan selepas pengumuman yang dibuat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin beberapa hari lalu.
Momentum itu katanya wajar diteruskan dalam memastikan ketegasan itu setiasa dirasai oleh semua pihak.
Sebelum ini Khairy mencadangkan agar akta baharu diperkenalkan bagi melarang aktiviti merokok serta pemilikan sebarang produk merokok termasuk rokok elektronik (vape) terhadap generasi muda yang lahir selepas 2005.
#Kementerian Kesihatan #Kementerian Kesihatan Malaysia #Khairy Jamaluddin #vape
;