KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mencadangkan agar Majlis Sukan Negara (MSN) berkerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam memberi kesedaran kepentingan membayar cukai kepada atlet.

Presiden MOM Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata kedua-dua pihak boleh mengadakan sesi penerangan definisi sebenar pendapatan yang boleh dicukai atau tidak kepada atlet memandangkan sebahagian besar mereka dilihat kurang cakna mengenai hal tersebut.

"Kadang-kadang dalam isu cukai ini ada bahagian yang boleh ditolak dan atlet mungkin tidak tahu terdapat sedikit rebat cukai ke atas mereka.

"Amat penting untuk bantu atlet (kepentingan bayar cukai) berbanding mencari salah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelantikan beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun sebagai duta NCT Alliance dan pelancaran 'Road to NCT Junior Badminton Championship' di sini, semalam.

Mohamad Norza berkata tidak adil menyalahkan atlet kerana mereka telah berjuang bermati-matian untuk mengharumkan nama negara dalam kejohanan atau temasya sukan yang disertai.

"Saya fikir tiada pendapatan lain untuk atlet dan tidak tahu bila penghujung kerjaya, jadi sudah tentu ketika masih beraksi mereka mahu menyimpan duit serta membuat pelaburan agar mempunyai masa depan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah akhbar tabloid tempatan semalam yang mendedahkan bahawa berlakunya 243 kes tunggakan cukai membabitkan jumlah keseluruhan kerugian mencecah RM15.873 juta dalam kalangan komuniti sukan termasuk golongan atlet.

Dalam pada itu, beliau berharap agar pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia menandatangani perjanjian persetujuan komitmen (LOC) menyertai program Road To Gold (RTG) dengan secepat mungkin.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa RTG itu berkata amat penting bagi Zii Jia berbuat demikian sekali gus memudahkan pihaknya menghulurkan bantuan diperlukan kepada pemain di ranking ke-11 dunia tersebut.

Selasa lepas, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata Zii Jia merupakan satu-satunya atlet yang belum menandatangani perjanjian tersebut dan diberikan tempoh 14 hari untuk melengkapkan komitmen berkenaan.

-- BERNAMA