Mohon tangguh bagi kes hukuman penjara setahun amalan biasa - Syahredzan

Irwan Muhammad Zain
Julai 13, 2019 13:44 MYT
Syahredzan juga menjelaskan hukuman yang dikenakan terhadap pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin terlalu berat bagi kes-kes yang boleh dikenakan hukuman denda. - Gambar fail
Memohon penangguhan bagi kes-kes melibatkan hukuman penjara tempoh setahun adalah amalan biasa, kata peguam Syahredzan Johan.
Menurut Syahredzan, bagi kes hukuman selama setahun, tempoh rayuan akan didengar mungkin memakan masa beberapa bulan atau lebih setahun selepas hukuman dijatuhkan.
Jelas beliau, jika hukuman terus dijalankan, tidak ada guna rayuan dibuat kerana lebih separuh masa telah dihabiskan di dalam penjara.
"Dia beza kalau contohnya hukuman tu macam sepuluh tahun contohnya, itu beza sebab kes rayuan tidak akan mengambil masa sampai 10 tahun untuk didengar.
"Tetapi kalau kes yang kena hukuman adalah 12 bulan, kebiasaannya pesalah akan menjalani hukuman selama sembilan bulan setengah, atau sepuluh bulan dia dah boleh keluar tetapi rayuan akan ambil masa kadang-kadang lebih daripada setahun, jadi ia akan jadi sia-sia, jadi kes ini adalah biasa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Selain itu, Syahredzan juga menjelaskan hukuman yang dikenakan terhadap pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin terlalu berat bagi kes-kes yang boleh dikenakan hukuman denda.
Wan Ji dijatuhkan hukuman penjara sembilan bulan pada 9 April 2018 atas tuduhan menghina Sultan Selangor, namun pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk tempoh itu ditingkatkan.
Pada 9 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam bersetuju untuk menambahkan hukuman penjara hingga setahun dan mengarahkan agar hukuman segera dijalankan walaupun pihak pembelaan memberitahu hakim mereka mahu memfailkan penangguhan dan rayuan.
Selepas memfailkan rayuan terhadap hukuman itu, Wan Ji dibebaskan dengan jaminan.
Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi di Shah Alam membebaskan Wan Ji selepas membenarkan permohonan peguam Mohd Radzlan Jalaluddin untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan.
#Hukuman #Mahkamah Rayuan #Mahkamah Tinggi #penjara #rayuan #Syahredzan Johan #Wan Ji Wan Hussin
;