Mohon permit khas pembantu rumah dalam talian mulai 1 Jan 2018

Bernama
November 1, 2017 11:44 MYT
Permohonan boleh dibuat secara terus tanpa melalui ejen atau orang tengah dan ia dijangka mengambil tempoh tujuh hingga 16 hari.- Gambar fail
Mulai 1 Jan tahun depan, majikan boleh mendapatkan permit khas pembantu rumah asing daripada Jabatan Imigresen yang dibuat melalui sistem dalam talian, kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali.
"Permohonan boleh dibuat secara terus tanpa melalui ejen atau orang tengah dan ia dijangka mengambil tempoh tujuh hingga 16 hari," katanya pada sidang media di sini pada Selasa.
Katanya langkah pengambilan secara terus pembantu rumah asing dari negara sumber dapat mengurangkan kos dan beban majikan, dengan majikan hanya perlu membayar sekitar RM3,600 hingga RM3,800 berbanding bayaran kepada ejen yang mencecah antara RM12,000 dan RM18,000.
"Kos itu melibatkan bayaran untuk levi, pas lawatan (kerja sementara), visa dan proses yang ditetapkan mengikut negara serta kos penerbangan. Permohonan sistem dalam talian ini dapat mengekang kegiatan pemerdagangan dan perhambaan manusia daripada terus berleluasa," katanya.
Dalam pembentangan Bajet 2018 pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan kerajaan kini memberi pilihan kepada majikan untuk mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.
Najib berkata majikan juga boleh memohon visa pembantu rumah daripada Jabatan Imigresen secara dalam talian dengan bayaran levi dan fi pemprosesan seperti kadar sedia ada.
Pada Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pengambilan terus pembantu rumah dapat menjimatkan kos sehingga 50 peratus.
Dalam pada itu, Mustafar menerangkan majikan perlu mengenal pasti mana-mana individu yang berada di Malaysia dan layak untuk diproses untuk dijadikan pembantu rumah sebelum membuat permohonan dalam talian serta melengkapkan sembilan proses ditetapkan jabatan itu.
"Majikan juga boleh ke negara sumber dan mencari sendiri prospek pembantu rumah dan membawa masuk ke Malaysia menggunakan pas lawatan sosial sebelum membuat permohonan itu.
"Permohonan yang melibatkan sembilan proses ialah pendaftaran dalam talian oleh majikan, log masuk dan pendaftaran pembantu rumah asing, saringan kesihatan, muat naik dokumen, semakan, kelulusan, notifikasi keputusan, bayaran dan cetakan pelekat permit lawatan (kerja sementara)," kata Mustafar.
Beliau berkata pihaknya juga tidak menghalang sekiranya majikan mahu menggunakan khidmat ejen dan bersedia untuk menanggung kos yang tinggi.
-- BERNAMA
#atas talian #Datuk Seri Mustafar Ali #Najib Razak #pembantu rumah #Zahid Hamidi
;