Mohon pembantu rumah asing dalam 10 hari
Hakim Rahman
Disember 29, 2017 21:27 MYT
Disember 29, 2017 21:27 MYT
Sistem Maid Online (SMO) yang diperkenalkan Jabatan Imigresen akan mempercepatkan proses pengambilan pembantu rumah asing (PRA) kepada hanya 10 hari.
Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, sistem berkenaan yang akan bermula 1 Januari nanti lebih cepat, tepat dan jimat.
"Melalui SMO, permohonan PRA menjadi lebih cepat dan jimat kerana boleh dilakukan dalam masa singkat jika tiada sebarang masalah, berbanding mengambil masa berbulan, malah bertahun sebelum ini.
"Ia juga lebih tepat kerana majikan akan memasukkan sendiri maklumat dan perincian peribadi dan PRA yang mahu digaji berbanding oleh ejen sebelum ini, selain kos yang lebih murah iaitu RM1,635 berbanding RM12,000 hingga RM18,000 sebelum ini," katanya.
Prosedur permohonan oleh majikan termasuk keputusan saringan kesihatan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (Fomema) dijangka mengambil masa tiga hingga lima hari manakala proses oleh Jabatan Imigresen mengambil masa maksimum lima hari.
Tambah Mustafar, majikan juga boleh memohon menggaji pembantu rumah asing yang sudah tinggal lebih masa di negara ini iaitu bagi tempoh 1 Jan hingga 31 Dis 2017 atas Pas Lawatan Sosial.
Bagi majikan yang berhasrat mengambil pembantu rumah terus dari negara sumber, mereka tertakluk kepada syarat, prosedur dan kos yang dikenakan negara berkenaan.
Sembilan negara sumber tersebut adalah Indonesia, Filipina, Sri Langka, Thailand, India, Laos, Nepal, Vietnam dan Kemboja.
Permohonan PRA boleh dibuat di laman sesawang maid-online.imi.gov.my manakala untuk mengetahui syarat kelayakan dan maklumat lanjut, majikan boleh membuat pertanyaan melalui e-mel admin_maidonline.imi.gov.my atau menelefon 03-88801468.
#10 hari
#Datuk Seri Mustafar Ali
#FOMENA
#Imigresen
#Pas Lawatan Sosial
#pembantu rumah asing
#PRA
#Proses
#Sistem Maid Online
#SMO
#tempoh