Mohon beri ruang dan masa kepada Muhammad Syafiq - Bapa

Dewi Nur Harasha Alias
Disember 8, 2020 19:31 MYT
Ahmad berkata, anaknya memerlukan masa untuk memulihkan kembali semangatnya agar dapat meneruskan kehidupan seperti biasa. -Gambar/ Bernama
GEORGE TOWN: Keluarga pemain bola sepak kebangsaan, Muhammad Syafiq Ahmad memohon supaya semua pihak memberi ruang dan waktu untuknya bertenang selepas kehilangan dua orang tersayang akibat kemalangan pada Ahad.
Bapanya, Ahmad Ibrahim, berkata buat masa ini anaknya belum bersedia berkongsi tragedi hitam yang menimpanya dan keluarga selepas mereka terlibat dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sungai Bakap.
Ahmad berkata, anaknya memerlukan masa untuk memulihkan kembali semangatnya agar dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.
"Buat masa ini dia mahu memberi fokus kepada isterinya, Nur Amalina Nur Ain, 25, yang masih dirawat di Hospital Seberang Jaya (HSJ) serta anak perempuannya Aaira Nur Saffiya, 2, yang turut terbabit dalam kemalangan itu.
"Walaupun ramai yang menghubungi termasuk media untuk bercakap dengan Muhammad Syafiq, tetapi dia tidak boleh berbuat demikian kerana masanya belum sesuai.
"Bagaimanapun, Muhammad Syafiq semakin tenang dan positif. Dia menerima kejadian itu sebagai ujian daripada Allah dan reda dengan apa yang berlaku," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, keadaan menantunya, Nur Amalina yang sedang dirawat di HSJ semakin baik dan stabil manakala cucunya, Aaira Nur Saffiya sudah dibenarkan keluar hospital pada Isnin.
Ahmad berkata, dia difahamkan Nur Amalina akan terus dirawat di HSJ sehingga sembuh dan akan dibenarkan keluar atas nasihat pakar perubatan yang mahu memantau keadaannya di hospital itu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi Ahad, Toyota Vellfire yang dipandu Muhammad Syafiq dilaporkan hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter.
Akibat kejadian itu, Muhammad Syafiq kehilangan anak lelakinya yang baru berusia 22 hari, Muhammad Aisy Saqeef dan ibu mentuanya, Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah mereka iaitu warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Ketika kejadian, kenderaan yang dinaiki enam orang dengan dipandu penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu dalam perjalanan dari Johor Bahru menuju ke Pendang, Kedah.
#muhammad syafiq #pemain bola sepak kebangsaan #kemalangan #anak #kehilangan #Pendang #Sungai Bakap #Vellfire #beri masa #bertenang #bapa #Ahmad Ibrahim
;