Mohd Yusoff dilantik Ketua Polis Kelantan berkuat kuasa hari ini
Bernama
Oktober 29, 2024 13:00 MYT
Oktober 29, 2024 13:00 MYT
KOTA BHARU: Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (Gerakan) Bukit Aman Datuk Mohd Yusoff Mamat dilantik Ketua Polis Kelantan berkuat kuasa hari ini.
Pelantikan Mohd Yusoff itu bagi menggantikan Datuk Muhamad Zaki Harun yang bersara wajib pada 31 Ogos lepas.
Sebelum ini, jawatan berkenaan dipangku Timbalan Ketua Polis Kelantan DCP Mohd Ali Tamby.
Majlis serah terima tugas diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) hari ini dengan disaksikan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Ayob Khan berkata pelantikan Ketua Polis Kelantan adalah satu tradisi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meneruskan kelangsungan kepimpinan tertinggi PDRM di negeri ini.
"Suka saya ingatkan kepada Datuk Mohd Yusoff bahawa pangkat dan jawatan adalah amanah dan tanggungjawab yang berat dan bukan untuk mengumpul kekayaaan keluarga serta untuk bermegah-megah dengan kedudukan jawatan kita.
"Pangkat dan jawatan hanyalah pinjaman sahaja di dunia, oleh itu Datuk Mohd Yusoff perlu menjalankan tanggungjawab ini dengan penuh amanah, integriti dan telus," katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di IPK Kelantan.
Ayob Khan berkata pelantikan Mohd Yusoff berdasarkan kepada pengalaman luas dimilikinya yang pernah menjadi Ketua Polis Daerah Klang Utara dan Komander Polis Marin Bukit Aman.
Sementara itu, Mohd Yusoff mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ayob Khan serta kepimpinan tertinggi PDRM kerana diberi kepercayaan untuk menerajui polis kontinjen Kelantan.
"Tanggungjawab sebagai KP (Ketua Polis Kelantan) adalah besar dan saya akan jalan amanah ini dengan penuh intergriti bagi memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negeri ini terjamin, selain meningkatkan kepercayaan masyarakat Kelantan kepada perkhidmatan PDRM," katanya.
-- BERNAMA
#Mohd Yusoff Mamat
#dilantik Ketua Polis Kelantan
#Timbalan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam
#Muhamad Zaki Harun y
#ayob khan mydin pitchay