Mohd Shukri: SPRM tidak pernah berkata politik wang UMNO tidak disiasat
T K Letchumy Tamboo
Oktober 18, 2013 14:02 MYT
Oktober 18, 2013 14:02 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah membuat kenyataan mengatakan ia tidak menyiasat aduan-aduan berkaitan dengan politik wang yang menjadi perhatian ketika pemilihan UMNO yang sedang berlangsung sekarang.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Shukri Abdull sebaliknya mengingatkan pendirian suruhanjaya iaitu perkara berkenaan harus dibawa kepada Lembaga Disiplin UMNO terlebih dahulu dan bukannya SPRM.
"Sekiranya Lembaga Disiplin mendapati tohmahan ini mempunyai bukti-bukti berlakunya perlakuan rasuah, maka perkara ini boleh dirujuk kepada SPRM untuk tindakan mengikut undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jelas beliau, pendirian SPRM itu bukan hanya tertakluk kepada pemilihan UMNO semata-mata tetapi merangkumi pemilihan semua parti politik lain di negara ini dan ia sudah ditegaskan sebelum ini.
"Berdasarkan maklumat yang dirujuk kepada SPRM, ia adalah lebih kepada pelanggaran Kod Etika parti. Oleh itu amatlah wajar perkara ini diteliti oleh jawatankuasa disiplin parti masing-masing.
"SPRM hanya akan bertindak sekiranya maklumat ini mengandungi elemen rasuah seperti yang diperuntukkan di bawah Akta SPRM 2009,” tambahnya lagi.
Mohd Shukri mengulas dakwaan beberapa pihak termasuk Transparency International Malaysia (TI-M) kononnya SPRM tidak menyiasat politik wang dalam UMNO.
Presiden badan pemantau rasuah itu, Datuk Akhbar Satar mendakwa tiga penyandang Naib Presiden mengamalkan politik wang menjelang pemilihan parti itu yang akan berlangsung pada Sabtu.
"TI-M menerima banyak maklum balas mengenai terdapat sejumlah besar wang diedarkan tahun ini untuk membeli undi menjelang pemilihan Umno,” katanya seperti dipetik oleh The Malaysian Insider.
Akhbar juga mempersoalkan peranan SPRM dalam menangani isu politik wang yang berlaku dalam UMNO dan bukan hanya memberi alasan hal itu masalah dalaman parti.
"TI-M mahu tahu apakah tindakan SPRM dalam isu melibatkan politik wang ini.
"Walaupun UMNO mengatakan ia adalah isu dalaman parti, SPRM harus menyiasat sama ada sumber wang tersebut diagihkan sepadan dengan kedudukan kewangan individu calon tersebut, dan jika ia didermakan kepada parti atau bahagian, sama ada ia dibayar atas tujuan membantu perniagaan," katanya.
Akhbar berkata, isu politik wang tidak boleh lagi disembunyikan kerana ia melibatkan skandal wang yang besar dan penyalahgunaan jentera kerajaan untuk tujuan kelangsungan politiknya.
Selain itu, katanya, penggunaan politik wang dan salah guna jentera juga adalah sesuatu yang tidak adil kepada calon lain yang bertanding tetapi tidak mempunyai kemampuan dan aset sama seperti calon berkenaan.