Mohd Shukri minta berikan kerjasama kepada Latheefa Koya

Astro Awani
Jun 10, 2019 17:17 MYT
Dalam mesyuarat itu, Latheefa diberi penerangan berkaitan organisasi, operasi dan pencegahan. - Sumber: SPRM
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Mohd Shukri Abdull meminta semua pengarah bahagian dan negeri agensi tersebut memberi kerjasama dan sokongan kepada ketua pesuruhjaya baharu.
Menurut Mohd Shukri, kerjasama itu penting dalam usaha SPRM memerangi jenayah rasuah dan salah guna kuasa.
Mohd Shukri berkata demikian ketika hadir ke mesyuarat pertama yang dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu, Latheefa Koya, pada Isnin.
Dalam mesyuarat itu, Latheefa diberi penerangan berkaitan organisasi, operasi dan pencegahan, selain turut mengadakan sesi suai kenal bersama pengarah-pengarah bahagian dan negeri.
Latheefa dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuatkuasa 1 Jun menggantikan Mohd Shukri yang memilih untuk memendekkan perkhidmatan kontraknya yang sepatutnya tamat pada 17 Mei 2020.
Pelantikannya diumumkan Pejabat Perdana Menteri pada 4 Jun lalu selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
BACA: Latheefa Koya perlu buktikan beliau layak pegang jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM - Presiden TI-M
BACA: 'Pelantikan Latheefa ikut Perlembagaan, tapi salah dari segi politik' - Kit Siang
#Ketua Pesuruhjaya #Latheefa Koya #Mohd Shukri Abdul #Rasuah #SPRM
;