Mohd Shukri anggap tugas di SPRM satu tanggungjawab berat

Hafiz Marzukhi
Mei 21, 2018 11:14 MYT
Mohd Shukri memasukkan kad perakam waktu di ibu pejabat SPRM pada pukul 10.29 pagi. Turut kelihatan, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki (kiri). - Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull melapor diri di ibu pejabat SPRM, di sini, hari ini.
Beliau melapor diri dan memasukkan kad perakam waktu di ibu pejabat pada pukul 10.29 pagi.
Ditanya apakah perasaan beliau kembali bertugas selepas bersara pada 2016, Shukri berkata ia merupakan tanggungjawab yang berat.
"Ia sangat mencabar bagi saya," kata Mohd Shukri.
Difahamkan, untuk hari ini, beliau akan bertemu dengan para pegawai dan pengarah SPRM.
"Esok saya akan adakan taklimat dengan para media. Ada cerita menarik untuk dikongsi.. pengalaman saya," tambahnya.
Mohd Shukri telah berkhidmat selama 32 tahun bersama SPRM sebelum bersara awal pada 31 Julai 2016.
Jawatan terakhir dipegang beliau ialah Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Mohd Shukri sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang memohon menamatkan kontrak perkhidmatannya dengan SPRM.
Dzulkifli telah melaporkan diri di Pejabat Peguam Negara pada Selasa.
#bersara #Dzulkifli Ahmad #kembali bertugas #Ketua Pesuruhjaya #kontrak #Mohd Shukri Abdull #SPRM
;