Mohd Puad Zarkashi dilantik Speaker DUN Johor
Siti Nur Aqilla Omar
April 21, 2022 10:40 MYT
April 21, 2022 10:40 MYT
ISKANDAR PUTERI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi dilantik sebagai Speaker DUN Johor, pada sesi Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Yang ke-15, hari ini.
Pencalonan Mohd Puad dikemukakan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi dan disokong ADUN Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip.
Mohd Puad dalam ucapan rasmi selepas mengangkat sumpah, mengucapkan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan Menteri Besar.
Katanya, beliau berjanji untuk memikul amanah yang diberikan dengan bersungguh-sungguh dan penuh dedikasi.
"Saya ingin mengingatkan ahli dewan supaya sentiasa ingat terhadap titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar ketika bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Persidangan Ke-4 DUN Johor, yang mahu semua ahli dewan sentiasa berbincang dan membuat ketetapan bagi kepentingan rakyat dan negeri.
"Jangan dibenarkan dewan ini dengan perangai buruk. Ini adalah dewan mulia, bukan dewan sangkar beruk, titah baginda.
"Justeru, marilah kita ahli dewan berbahas secara tertib dan konstruktif. Kita memikul tanggungjawab sebagai pembina bangsa dan negara. Peliharalah keunggulan nama bangsa Johor," katanya.
Mohd Puad, 64 tahun, menggantikan Suhaizan Kaiat dari Parti Amanah Negara yang memegang jawatan itu sejak 2018 hingga awal 2021, sebelum Pilihan Raya Negeri Johor yang menyaksikan Barisan Nasional memenangi 40 kerusi.
Mohd Puad adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan pernah menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12.
Beliau turut pernah menjadi Timbalan Menteri Pelajaran dari 2009 sehingga 2013.