Mohd Nizam dilantik menjadi Panglima Angkatan Tentera ke-23

Firdaus Azil
Januari 31, 2025 16:42 MYT
Untuk rekod, Mohd NIzam merupakan individu kedua yang bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara sedia ada, dilantik ke jawatan tersebut, selepas Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail.- Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Sejarah tercipta buat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) apabila Penolong Ketua Staf Perkhidmatan Kakitangan, Datuk Mohd Nizam Jaffar dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-23, berkuat kuasa hari ini.
Untuk rekod, Mohd Nizam merupakan individu kedua yang bukan dalam kalangan Panglima Tentera Darat, Laut dan Udara sedia ada, dilantik ke jawatan tersebut, selepas Allahyarham Jeneral Tun Ibrahim Ismail.
Pelantikan Mohd Nizam adalah bagi menggantikan Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman yang bersara wajib selepas berkhidmat hampir empat dekad bersama ATM.
Majlis Serah Terima Tugas itu disempurnakan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan di sini, pada Jumaat.
Terdahulu Mohd Nizam, 59, dinaikkan pangkat kepada Jeneral dalam majlis itu, bagi membolehkan beliau menjawat jawatan berkenaan.
Mohd Nizam yang merupakan seorang Pegawai Tentera Darat dinaikkan pangkat ke Leftenan Jeneral pada 23 Februari tahun lepas.
Beliau sebelum ini menjawat jawatan penting antaranya Komandan Kolej Pertahanan Nasional, Pengarah Pengurusan Latihan di Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat serta Panglima Briged Infantri ke-2 Tentera Darat.
Di peringkat antarabangsa, beliau turut mencipta sejarah sebagai Pegawai Kanan Tentera Darat Malaysia pertama yang terpilih menghadiri Global Peace Operations Initiative (GPOI) Peace Support Operations Contingent Commander Course di Monterey, Amerika Syarikat, sebelum dilantik sebagai Komander Malaysian Battalion (MALBATT) 2 di Lubnan.
Dalam pada itu, Kementerian Pertahanan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Mohammad yang melalui perjalanan tugas yang mencabar, selain terlibat aktif dalam melakukan perubahan dan penstrukturan semula terhadap ketiga-tiga cabang perkhidmatan.
#Angkatan Tentera Malaysia #Panglima Angkatan Tentera #Mohd Nizam Jaffar #majlis serah terima tugas
;