Mohd Nizam dibunuh kerana cara tunggangan motosikalnya - Polis Hatyai
Bernama
Jun 10, 2016 08:00 MYT
Jun 10, 2016 08:00 MYT
Pembunuhan rakyat Malaysia, Mohd Nizam Ahmad Basrah pada awal pagi 16 Mei lepas di Hatyai dipercayai berpunca dari perasaan tidak puashati suspek terhadap cara tunggangan motosikal mangsa pada hari kejadian.
Perkara itu didedahkan oleh Penolong Ketua Polis Songkhla Kol Chaiwat Nittayavitmol yang berkata, suspek Warawut Muangmin, 25, tidak berpuashati cara tunggangan motosikal oleh Mohd Nizam dan bertindak menembaknya.
"Motif suspek menembak mangsa adalah kerana motosikal mangsa secara tiba-tiba memotong motosikal dinaikinya bersama rakan, yang menyebabkannya rasa terkejut dan marah dengan kejadian itu telah bertindak melepaskan tembakan terhadap mangsa," katanya pada sidang media di sini, pada Khamis.
Katanya, Warawut berasal dari Hatyai merupakan penjual alat binaan ditahan dalam sebuah van disewanya di Jalan Tak-Lampan ketika cuba melarikan diri daripada buruan pihak polis.
Pada 16 Mei lepas, Mohd Nizam yang berasal daripada Pulau Pinang ditembak mati ketika sedang menunggang motosikal seorang diri ke sebuah hotel di Hatyai kira-kira 3.30 pagi.
Sejurus selepas ditahan, Warawut menurut Chaiwat telah dibawa ke Haytai untuk soal siasat.
Beliau berkata, dalam proses siasatan polis telah bertindak menemu bual beberapa saksi serta melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum dapat menahan Warawut.
Chaiwat juga berkata, pihak polis sedang memburu rakan Warawut yang menunggang motosikal bersamanya.