Mohd Merdeka harap Malaysia bebas dari COVID-19
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 25, 2021 12:26 MYT
Ogos 25, 2021 12:26 MYT
KEPALA BATAS: Sambutan Hari Kemerdekaan ke-64 tahun ini yang akan disambut minggu depan diharapkan akan lebih bermakna sekiranya negara bebas daripada cengkaman wabak COVID-19.
Itu harapan yang disuarakan Mohd Merdeka Ismail, 64 tahun dari Kampung Dua Puluh, Penaga, di sini.
Sesuai dengan namanya yang melambangkan kemerdekaan negara daripada jajahan penjajah, Mohd Merdeka mahu Malaysia 'merdeka' daripada COVID-19 selain berharap seluruh rakyat menerima dua dos suntikan vaksin.
Kata Mohd Merdeka, rakyat perlu bersatu hati memerangi penyakit yang sudah mengorbankan banyak nyawa dan dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala.
“Kalau merdeka (bermaksud) bebas dari dijajah, COVID pula adalah ‘musuh’ yang kita tak nampak… bila-bila masa pun kita boleh dijangkiti kalau tak jaga diri.
“Kita kena jaga diri, kita nak merdeka kedua-duanya iaitu bebas daripada penjajah dan COVID-19 dan boleh hidup seperti sediakala,” katanya kepada Astro AWANI.
Mohd Merdeka yang sudah lengkap menerima dua suntikan vaksin turut menyeru orang ramai agar segera mendaftar untuk menerima vaksinasi bagi membebaskan negara ini daripada musuh tidak nyata itu.
Sementara itu, Mohd Merdeka yang bekerja sebagai nelayan dan tukang rumah berkata, dia sangat berbangga kerana memiliki nama yang sangat istimewa.
Kata Mohd Merdeka, dia tidak menyangka namanya yang diberi oleh tok bidan ketika dilahirkan pada 31 Ogos 1957 disebut pelbagai lapisan masyarakat malah, diberi layanan istimewa pada majlis-majlis tertentu.
Selain itu, setiap tahun pada bulan Ogos juga rumahnya juga akan dikunjungi orang kenamaan dan agensi tertentu susulan pelancaran Bulan Merdeka.
Namun, dia tidak menafikan dihimpit rasa malu ketika usia muda dengan nama yang diberikan padanya itu.
“(Sekarang) sudah tidak rasa malu lagi sebab sudah biasa… lagipun sudah ditakdirkan nama macam itu, buat apa nak rasa malu lagi (bahkan) saya rasa bangga sebab beranak (dilahirkan) pada tahun kemerdekaan negara… dulu-dulu memang rasa malu sebab depa (orang ramai) asyik panggil ‘ ‘merdeka'... ‘merdeka’… ‘merdeka’,” ujar Mohd Merdeka lagi.
Berikutan namanya yang unik, Mohd Merdeka juga sering dijadikan 'ikon' sambutan Bulan Merdeka di Pulau Pinang.
Antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan ialah pernah dijemput ke Istana Negara bertemu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin ketika berusia 50 tahun susulan program menghimpunkan 14 individu dari seluruh negara yang memiliki nama 'Merdeka'.
Kini, genap 64 tahun negara merdeka, Mohd Merdeka menyeru kepada anak muda agar menghargai kemerdekaan negara dan memastikan Malaysia tidak dijajah semula.