Mohd Khairuddin dipanggil ke Bukit Aman esok

Astro Awani
Ogos 25, 2020 23:40 MYT
Mohd Khairuddin akan dipanggil bagi membantu siasatan selepas 27 laporan polis diterima berhubung perkara berkenaan. - Astro AWANI
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali dipanggil ke Bukit Aman pada Rabu untuk memberi keterangan susulan kegagalan mematuhi kuarantin wajib di rumah setelah pulang dari Turki, pada 7 Julai lalu.
Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid dilaporkan berkata, polis memanggil beliau bagi membantu siasatan selepas 27 laporan polis diterima berhubung perkara berkenaan.
Bagaimanapun, masih belum dipastikan waktu Mohd Khairuddin akan hadir ke Bukit Aman untuk memberi keterangan.
Sampel ujian calitan kali pertama beliau telah diambil pada hari sama dan didapati negatif.
Ujian saringan COVID-19 kali kedua dan ketiga juga menunjukkan keputusan negatif.
Sebelum ini, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mendakwa, Mohd Khairuddin tidak menjalani kuarantin 14 hari selepas pulang daripada kunjungan ke Turki.
Berikutan itu, Mohd Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Pas dikritik banyak pihak kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa, terutama mengingkari arahan kuarantin bagi mana-mana warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara.
Sebelum ini, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan isu Mohd Khairuddin gagal mematuhi prosedur kuarantin wajib, sebagai tidak lagi penting.
Jelasnya, ia kerana tiada sebarang kluster tercetus akibat perbuatan Mohd Khairuddin itu.
Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum ini telah mengeluarkan kompaun ke atas Mohd Khairuddin setelah didapati melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No.7) 2020, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).
#Bukit Aman #KKM #PAS #polis #SOP #Teresa Kok #Turki
;