Mohd Khafiz pendaki kedua Malaysia tawan K2, puncak kedua tertinggi dunia

Bernama
Julai 28, 2023 08:30 MYT
Mohd Khafiz turut membiayai sendiri kos ekspedisi pendakian sebanyak RM500,000 menerusi hasil usahanya dengan menjual rumah beliau dan barangan ZEROTO8000 serta penganjuran ekspedisi pendakian gunung di luar negara. - Foto Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Mohd Khafiz Bachok mencipta nama sebagai pendaki kedua Malaysia untuk menawan Gunung K2, di Pakistan, gunung kedua tertinggi di dunia selepas Everest.
Pendaki berusia 45 tahun dari Pontian, Johor itu, berjaya sampai di puncak gunung paling berbahaya di dunia itu dengan ketinggian 8,611 meter (m) dari aras laut pada 11.52 pagi waktu tempatan (2.52 petang waktu Malaysia) Khamis untuk menjayakan impian selama 25 tahun beliau.
Pengurus ZEROTO8000 Rozaimi Mohd Said berkata, Mohd Khafiz yang memulakan pendakiannya dari Skardu mengambil masa lapan hari untuk sampai ke Kem Induk, namun akibat cuaca yang tidak baik, proses rotasi bagi tujuan penyesuaian diri dengan altitud tinggi hanya dapat dimulakan pada 12 Julai.
"Proses rotasi dibuat sehingga ke Kem 2 sebelum beliau turun semula ke Kem Induk. Pendakian sebenar hanya bermula pada 22 Julai, di mana beliau sampai ke Kem 3 pada ketinggian 7,254m pada Selasa.
Pendakian ke puncak bermula semalam pada 5.40 petang waktu tempatan. Pendakian ini merupakan sebahagian daripada misi ZEROTO8000 yang ditubuhkan Mohd Khafiz sendiri, yang bertujuan memupuk semangat berdikari dalam kalangan rakyat Malaysia dalam mencapai impian mereka," katanya menerusi satu kenyataan, pada Khamis.
Menurutnya, ZEROTO8000 membawa maksud perjalanan Mohd Khafiz yang bermula dari ketinggian sifar (0) meter di Tanjung Piai, Johor menuju ke Gunung K2 dengan ketinggian melebihi 8,000m, yang menjadi simbolik di atas usaha beliau, ahli keluarga dan rakan-rakan sehingga ke hari ini.
Rozaimi berkata, Mohd Khafiz turut membiayai sendiri kos ekspedisi pendakian sebanyak RM500,000 menerusi hasil usahanya dengan menjual rumah beliau dan barangan ZEROTO8000 serta penganjuran ekspedisi pendakian gunung di luar negara.
K2 merupakan gunung kedua dengan ketinggian lebih 8,000m yang didaki oleh beliau, selepas menawan puncak kelapan tertinggi dunia, Gunung Manaslu (8,163m) di Nepal bersama seorang lagi pendaki ZEROTO8000, RJ Nagarajan untuk menjadi pasukan pertama Malaysia tiba di puncak berkenaan pada tahun lepas.
Mohd Khafiz juga pernah menawan beberapa gunung lain seperti Gunung Aconcagua (6,961m) di Argentina (2016), Kilimanjaro (5,895m) di Tanzania, Cartensz Pyramid (4,884m) di Papua dan gunung-gunung lain di Taiwan, Indonesia dan Malaysia.
Pada Julai 2022, T. Ravichandran atau lebih dikenali sebagai Ravi Everest, mencipta sejarah sebagai pendaki pertama Malaysia menawan K2.
-- BERNAMA
#pendaki Malaysia #mohd khafiz bachok #Gunung K2 #Pakistan
;