Mohd Asri tidak pasti siapa Tun M maksudkan sebagai 'pekak'

Saharudin Musthafa
April 30, 2019 10:39 MYT
Mohd Asri Zainal Abidin kurang jelas siapakah yang dimaksudkan sebagai individu yang 'pekak' oleh Dr Mahathir Mohamad. - Gambar fail BERNAMA
MUFTI Perlis, Datuk Dr Mohd. Asri Zainul Abidin kurang pasti siapakah yang dimaksudkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai individu yang 'pekak' kerana mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak mempertahankan Islam.
Ini kerana, kata Mohd Asri, apa disuarakannya adalah realiti yang disuarakan oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini.
"Banyak berita pagi ini pasal kenyataan YAB Tun M: "Mufti Perlis pekak" sebab kritikan saya yang suara mempertahankan Islam kurang kedengaran dalam kalangan pimpinan kerajaan hari ini. Umat Islam rasa kurang selamat.
"Namun, sesiapa yang mampu mendengar keresahan rakyat, itulah realiti yang disuarakan oleh setiap lapisan masyarakat Islam di negara ini. Saya tidak pasti siapa yang pekak," kata Mohd. Asri dalam hantaran Facebook peribadinya pada Selasa.
Mohd Asri turut berkongsi catatan yang ditulis Dr. Mahathir dalam buku A Doctor In The House dalam Facebook beliau.
Tulisan Mohd Asri itu meurpakan jawapan balas kepada kenyataan Perdana Menteri yang mendakwa Mufti Perlis itu sebagai 'pekak' kerana mendakwa kerajaan Pakatan Harapan tidak mempertahankan Islam.
Pada Isnin, Dr, Mahathir menyifatkan Mohd Asri sebagai ‘pekak’ kerana mendakwa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mempertahankan Islam.
Menurut Dr Mahathir, jika Mohd Asri boleh mendengar, sudah tentu beliau tahu pelbagai usaha dilakukan kerajaan PH dalam menjaga Islam di negara ini.
Kenyataan Dr. Mahathir itu susulan Mohd Asri sebelum ini mendakwa suara mempertahankan Islam sukar kedengaran dalam kalangan pemimpin pentadbiran hari ini.
BACA: PH laksana pelbagai inisiatif untuk umat Islam - Dr Mahathir
Mohd Asri berkata, pelbagai kenyataan dibuat oleh individu dalam kerajaan yang dianggap menghina orang Islam.
Pihak yang menimbulkan ketegangan itu hanya dipanggil untuk memberi keterangan, manakala individu yang berkongsi pengalaman peribadi menukar agama dan memilih agama Islam ditangkap.
"Mungkin YAB Tun M terguris disebabkan hubungan baik saya dengan Tun M selama ini. Saya faham keadaan itu.
"Beberapa tahun yang lalu Tun M ada menulis cacatan ini kepada saya. Antara yang ditulis: "Jangan ketepikan kebenaran kerana takut. Perjuangan yang bebas dari cabaran dan tentangan bukanlah perjuangan yang sebenarnya," tulis Mohd Asri lagi.
#Mahathir Mohamad #Mohd Asri 'pekak' #Mufti Perlis #Perdana Menteri
;