Mohd Asri disiasat, bukannya dihukum - Menteri Dalam Negeri

Khairunnisa Kasnoon
Ogos 10, 2020 22:10 MYT
Hamzah ditemui selepas turun padang melakukan tinjauan sendiri sekitar Bandar Baru Sungai Buloh di pada petang Isnin.
Siasatan ke atas pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, yang mendedahkan kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di Bandar Baru Sungai Buloh, bukan bertujuan menghukum.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, memaklumkan, langkah itu adalah tindakan biasa bagi membolehkan polis menyiasat dakwaan yang dibuat Mohd Asri.
Jelas beliau, dalam masa yang sama tindakan dan siasatan juga diambil ke atas polis yang mungkin terbabit.
"Kita mengambil tindakan dan menyiasat Mohd Asri bukan untuk menghukum beliau... kita hendak pastikan segala tuduhan itu benar atau sebaliknya, supaya dapat mengambil tindakan sewajarnya bukan hanya terhadap Asri, tetapi juga kepada anggota PDRM... saya minta supaya mereka lakukan kerja mereka mengikut perundangan yang ada," katanya.
Hamzah ditemui selepas turun padang melakukan tinjauan sendiri sekitar Bandar Baru Sungai Buloh di pada petang Isnin.
Dalam tinjauan itu, Mohd Asri menunjukkan beberapa lokasi yang didakwa menjadi lokasi perjudian haram dan jualan rokok seludup seperti didedahkan di dalam video yang menjadi tular baru-baru ini.
Hamzah juga menggesa orang ramai yang ingin menyalurkan maklumat mengenai jenayah menggunakan saluran yang betul dan berhati-hati dalam membuat tuduhan.
#Hot Burger #Menteri Dalam Negeri #Mohd Asri #PDRM #perjudian #siasatan
;