Mohd Ali junjung kasih kepada Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan YDP Melaka

Bernama
Jun 4, 2024 16:34 MYT
Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Tun Mohd Ali Rustam sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka hari ini. - Foto Bernama
MELAKA: Tun Mohd Ali Rustam hari ini menjunjung kasih dan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan Seri Paduka Baginda melantik beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7, bagi penggal kedua.
"Saya juga merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia di atas sokongan beliau kepada saya untuk diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 bagi penggal kedua.
"Juga kepada Yang Amat Berhormat Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Ketua Menteri Melaka," katanya ketika berucap sempena Majlis Istiadat Angkat Sumpah Jawatan Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Melaka di Balai Istiadat, Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.
Pada 28 Mei, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Mohd Ali sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka bagi penggal kedua, bermula 4 Jun 2024.
Terdahulu, Mohd Ali mengangkat sumpah sebagai Yang Dipertua Negeri Melaka ke-7 bagi penggal kedua hari ini, disaksikan Hakim Mahkamah Tinggi Melaka Datuk Anselm Charles Fernandis dan Pegawai Kewangan negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Salhah Salleh.
Mengimbas pelantikannya pada 5 Jun 2020, Mohd Ali berkata pelbagai cabaran dan ketidaktentuan dialami, bermula dengan serangan pandemik COVID-19 yang membawa kesan kepada cara hidup bermasyarakat serta ekonomi negara dan dunia.
Beliau berkata bagaimanapun langkah-langkah berkesan diambil kerajaan berjaya mempertahankan kedudukan ekonomi dan memberi manfaat kepada rakyat.
"Ekonomi Melaka merekodkan pemulihan pada 2021 dengan mencatatkan pertumbuhan 2.1 peratus berbanding negatif 5.9 peratus pada 2020. Terkini, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Melaka mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.6 peratus.
"Kesiapsiagaan kerajaan yang efektif dalam menangani krisis global membuka ruang kepada landasan pemulihan ekonomi yang pantas," katanya.
Mohd Ali turut mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri yang berjaya menerima pelaburan langsung luar negara (FDI) dan domestik sebanyak RM6 bilion, pada 2023.
"Saya difahamkan inisiatif Melaka Industrial Booster telah dilaksanakan dan ia dapat memudahkan pelabur seperti mempercepatkan proses permohonan kelulusan pelan kemajuan di peringkat pihak berkuasa tempatan, daripada 180 hari kepada 30 hari sahaja.
"Saya juga berharap kawasan perindustrian baharu yang akan dibangunkan perlulah dilengkapi dengan kemudahan infrastruktur dan kemudahan-kemudahan lain yang komprehensif, bagi menarik lebih banyak pelabur untuk memilih Melaka sebagai destinasi pelaburan pilihan mereka," katanya.
-- BERNAMA
#Mohd Ali Rustam #junjung kasih #Yang di-Pertuan Agong #Sultan Ibrahim #pelantikan #Yang Dipertua Negeri Melaka
;