Mohd Abd Wahab dilantik Ketua Pengarah Nuklear Malaysia

Bernama
September 26, 2018 06:49 MYT
Mohd Abd Wahab telah berkhidmat hampir 34 tahun dalam perkhidmatan awam. - Foto Facebook KP Agensi Nuklear Malaysia
Dr Mohd Abd Wahab Yusof dilantik Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) yang baharu berkuat kuasa 12 Sept bagi menggantikan Datuk Dr Mohd Ashhar Khalid yang telah bersara wajib.
Nuklear Malaysia dalam satu kenyataan di sini pada Rabu, memaklumkan Mohd Abd Wahab, yang sebelum ini merupakan Pengarah Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar di Nuklear Malaysia, berpengalaman luas dalam bidang keselamatan nuklear dan sinaran serta pengurusan sisa radioaktif.
Mohd Abd Wahab, 58, berasal dari Kampung Salak Tengah, Sepang, Selangor, menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai penyelidik di Nuklear Malaysia pada 1984 dan telah berkhidmat hampir 34 tahun dalam perkhidmatan awam.
Beliau adalah lulusan Ijazah Sarjana Muda Kepujian dalam bidang Sains Nuklear dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Ijazah Sarjana dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar serta Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Awam dari University of Nottingham, United Kingdom.
Beliau pernah ditempatkan di Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) dari 1985 hingga 2001 sebagai Pengarah Penilaian, Pengarah Penguatkuasaan, selain pernah menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah.
Mohd Abd Wahab juga pernah menjalankan beberapa misi pakar ke Filipina, Maghribi dan Vienna, Austria di bawah kelolaan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
-- BERNAMA
#Agensi Nuklear Malaysia #Ketua Pengarah #Mohd Abd Wahab Yusof #nuklear #Nuklear Malaysia #sisa radioaktif
;