Mohamed Khairuzzaman peroleh perintah tangguh sementara dari dihantar pulang ke Bangladesh

Bernama
Februari 15, 2022 15:41 MYT
Peguam yang mewakili Mohamed Khairuzzaman berkata, perintah penggantungan sementara itu perlu dibenarkan kerana terdapat risiko anak guamnya dihantar pulang pada bila-bila masa sebelum permohonan habeas corpus didengar pada 20 Mei ini. - Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini membenarkan permohonan bekas Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Malaysia Mohamed Khairuzzaman untuk mendapatkan perintah penggantungan sementara bagi menghalang kerajaan Malaysia menghantarnya pulang ke negara asal.
Hakim Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan Mohamed Khairuzzaman selaku pemohon, sementara menunggu permohonan habeas corpus (penahanan salah) difailkannya bagi mencabar penahanannya oleh pihak berkuasa Malaysia diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.
Terdahulu, peguam Edmund Bon yang mewakili Mohamed Khairuzzaman berkata perintah penggantungan sementara itu perlu dibenarkan kerana terdapat risiko anak guamnya akan dihantar pulang pada bila-bila masa sebelum permohonan habeas corpus didengar pada 20 Mei ini.
Prosiding hari ini turut dihadiri Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun bertindak bagi pihak kerajaan Malaysia, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Imigresen selaku responden.
Pada 10 Februari lepas, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin mengesahkan Mohamed Khairuzzaman kini ditahan pihak berkuasa negara ini.
Beliau yang tidak mendedahkan tangkapan itu dibuat atas kesalahan apa, berkata tindakan berkenaan diambil mengikut prosedur perundangan sedia ada.
Menurut laporan media, Mohamed Khairuzzaman, 70, yang dilaporkan tinggal di Malaysia sebagai pelarian ditahan di rumahnya di Ampang pada 9 Februari lepas dan dijangka dihantar ke Bangladesh.
Mohamed Khairuzzaman merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
-- BERNAMA
#Mohamed Khairuzzaman #bekas pesuruhjaya tinggi #Bangladesh #penahanan
;