Mohamed Apandi mohon dapatkan dokumen antara Dr Mahathir dan kerajaan
Bernama
Mac 29, 2021 23:07 MYT
Mac 29, 2021 23:07 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memohon mendapatkan dokumen atau surat antara bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan kerajaan Malaysia berhubung penamatan perkhidmatannya sebagai Peguam Negara untuk membuktikan tuntutan samannya terhadap mereka.
Mohamed Apandi yang diwakili peguam Datuk Abd Shukor Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa dokumen berhubung penamatan itu juga tidak diklasikasikan sebagai rahsia rasmi.
“Dokumen berkenaan adalah berkaitan dengan kes ini. Ia (dokumen tersebut) dalam pegangan defendan (Dr Mahathir dan kerajaan) dan ia tidak diklasikasikan di bawah rahsia rasmi,” kata beliau dalam hujahan pendengaran permohonan Mohamed Apandi untuk mendapatkan dokumen itu di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Seri Latifah Mohd Tahar melalui aplikasi Zoom.
Dalam permohonan yang difailkan pada 11 Dis 2020, Mohamed Apandi selaku plaintif, antara lain memohon satu perintah dikeluarkan oleh mahkamah agar beliau bebas untuk memeriksa dan dibekalkan dengan salinan dokumen atau surat berhubung penamatan perkhidmatannya.
Katanya, dokumen itu berada dalam milikan, jagaan atau kuasa kedua-dua defendan dan ia perlu diberikan untuk plaintif membuktikan tuntutan samannya.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili kedua-dua defendan dalam menentang permohonan itu, berhujah bahawa permohonan Mohamed Apandi adalah kabur.
Beliau juga berkata terdapat kemungkinan besar bahawa dokumen yang belum dikenal pasti itu adalah dokumen sulit dan permohonan itu adalah satu pembaziran masa.
“Dokumen yang dicari tidak relevan, tidak perlu dan tidak cukup dinyatakan dan dokumen yang belum dikenal pasti itu, kemungkinan tinggi diklasikasikan sebagai ‘RAHSIA’ di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak boleh didedahkan, justeru permohonan ini adalah membuang masa,” katanya.
Mahkamah menetapkan 25 Mei untuk keputusan.
Pada 13 Okt lalu, Mohamed Apandi memfailkan saman dengan menamakan Dr Mahathir dan kerajaan, masing-masing sebagai defendan pertama dan kedua, memohon antara lain perisytiharan bahawa pemecatan beliau sebagai Peguam Negara yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri itu sebagai tidak sah.
Dalam penyataan tuntutannya, Mohamed Apandi yang merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan sebelum dilantik sebagai Peguam Negara pada 2015, juga menuntut perisytiharan bahawa defendan pertama telah menyalahgunakan kedudukannya dan bahawa defendan pertama telah mendorong berlakunya pelanggaran
kontrak di antara beliau dan kerajaan Malaysia.
Beliau juga memohon perisytiharan bahawa wujud kegagalan pematuhan terhadap Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan dalam pemecatannya dan bahawa pemecatannya adalah tidak mengikut undang-undang, dan oleh itu tidak sah.
Mohamed Apandi memohon ganti rugi khas RM2,233,599.36, ganti rugi am, ganti rugi teladan dan/atau punitif, kos dan relief lain yang dikirkan wajar oleh mahkamah.
Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 12 Nov lalu, kedua-dua defendan itu menegaskan tindakan menamatkan kontrak perkhidmatan Mohamed Apandi sebagai Peguam Negara adalah sah serta mengikut peruntukan undang-undang dan tiada penyalahgunaan kuasa oleh Dr Mahathir dalam hal tersebut.
-- BERNAMA
#Mahathir Mohamad
#Mohamed Apandi Ali
#mahkamah
#kerajaan
#saman
#bekas Peguan Negara
#bekas perdana menteri