Mohamed Apandi buat laporan polis terhadap Tommy Thomas
Sinar Harian
Februari 4, 2021 16:07 MYT
Februari 4, 2021 16:07 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membuat laporan polis terhadap Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan memfitnah menerusi buku berjudul 'My Story: Justice in the Wilderness'.
Mohamed Apandi bersama peguamnya Datuk Baljit Singh tampil membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul pada jam 2.15 petang pada Khamis.
Mohamed Apandi berkata, tujuannya membuat laporan polis adalah untuk memastikan semua pihak yang telah dianiaya, difitnah dan dihina dalam buku itu mendapat keadilan.
"Apa yang terkandung dalam buku Tommy menunjukkan sifat beliau yang memandang rendah dan tidak menghargai individu yang merupakan tulang belakang perundangan negara," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Mohamed Apandi turut menyatakan kerajinan pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara semasa beliau menjadi Peguam Negara.
"Mereka tidak kenal penat dan sanggup kerja tanpa mengira masa," katanya.
Menurutnya, walaupun dilemparkan dengan pelbagai tuduhan dan fitnah semasa menjadi Peguam Negara, namun beliau tidak sesekali melepaskan maklumat.
"Saya tidak sesekali melepaskan cerita atau maklumat, walaupun dalam buku memoir saya kerana semua yang saya tahu adalah rahsia negara.
"Ada kata-kata hikmah yang saya pegang iaitu pegetahuan adalah mengetahui apa yang perlu diperkatakan, kebijaksaan adalah mengetahui bila ianya perlu diperkatakan," katanya.
Polis Selangor pada Rabu membuka kertas siasatan terhadap Tommy yang juga bekas Peguam Negara berhubung dakwaan memfitnah.
Kertas siasatan kes berkenaan dibuka selepas polis menerima laporan daripada bekas pegawai kanan Jabatan Peguam Negara, Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria pada Selasa.
Mohamad Hanafiah dalam laporan polisnya mendakwa dalam buku itu, Tommy memfitnah dan memburukkan imejnya ketika beliau masih bertugas sebagai seorang pegawai kanan kerajaan.
#Mohamed Apandi Ali
#Tommy Thomas
#My Story Justice in the Wilderness
#Ibu Polis Daerah Sentul
#Peguam Negara
#Jabatan Peguam Negara
#Mohamad Hanafiah Zakaria