Mohamaddin dakwa pencerobohan Lahad Datu suatu sandiwara
Astro Awani
September 21, 2020 13:28 MYT
September 21, 2020 13:28 MYT
Bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Mohamaddin Ketapi mendakwa pencerobohan Lahad Datu di Sabah pada 2013 sebagai suatu 'sandiwara'.
Berucap semasa kempen untuk calon Parti Warisan Sabah (Warisan) baru-baru ini, Mohamaddin berkata, situasi itu dikatakan berlaku apabila kononnya UMNO akan kalah kepada PKR.
Menurutnya, ketika itu ketegangan telah mencetuskan 'perang' dan ramai orang mati disebabkan kejadian berkenaan.
"Sandiwara bohong membunuh orang. Kamu ingat dahulu PRU yang lalu, dia bilang Filipina mau ambil Sabah, jadi ada peperangan, datanglah jet dibomnya kelapa sawit orang, habis semua kelapa sawit orang.
"Habis rumah orang, koyak ditembak, ini kenyataan. Disuruh kereta kebal masuk kampung suruh berperang sama ayam, ayam sama anjing lawan dia berperang, apabila habis pilihanraya tiada pula peperangan itu.
"Tetapi saya ingat, saya wakil rakyat Lahad Datu," katanya semasa kempen ceramah berkenaan.
Video rakaman kempen Mohamaddin itu kini mula tular di media sosial.
Seramai 10 wira negara terkorban dalam Op Daulat semasa mempertahankan bumi Sabah daripada pencerobohan pengganas Sulu, termasuk serangan hendap di Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna.
Tragedi itu turut menyaksikan sekurang-kurangnya 68 anggota pengganas Sulu ditembak mati.
Pada Ahad, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kemasukan besar-besaran rakyat dari negara jiran untuk membuat kekacauan pada hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
"Sempena PRN Sabah kita dapat maklumat yang mengatakan akan berlaku kemasukan besar-besaran pendatang dari negara jiran untuk datang ke Sabah membuat kekacauan.
"Ini kita kena halang supaya pilihan raya berjalan dengan lancar dan tidak mengganggu-gugat serta ketenteraman dan keselamatan kita terjamin," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, di Kota Kinabalu.
Susulan itu pihaknya akan menggerakkan aset semaksimum mungkin bagi mengekang kemasukan mereka.
Tragedi pencerobohan itu membawa kepada penubuhan ESSCOM pada 1 April 2013 yang antara lain berperanan menyelaras operasi pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Kawasan ESSZONE merangkumi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Merudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.