Mohamad ucap tahniah atas kejayaan PM Najib selesai isu Korea Utara
Bernama
April 2, 2017 07:00 MYT
April 2, 2017 07:00 MYT
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjaya menyelesaikan ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara.
Beliau berkata kemampuan Najib yang berjaya mengatasi kemelut itu memperlihatkan sifat kaliber beliau sebagai seorang pemimpin negara yang disegani.
Ini, katanya, berikutan pengalaman negara dalam menyelesaikan krisis seperti insiden penerbangan MH17 Malaysia Airlines yang ditembak jatuh ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014.
Mohamad berkata demikian ketika berucap pada majlis bersama rakyat di Rumah Rakyat Chengkau di sini pada Ahad. Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Datuk Dr Awaluddin Said.
Ketegangan politik antara Malaysia dan Korea Utara timbul berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin negara itu Kim Jong-un, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Feb lepas.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata kejayaan ini adalah contoh kepada generasi muda hari ini, bahawa keamanan yang dikecapi negara selama ini seharusnya dipertahankan.
"Generasi muda ini harus sedar, jangan cepat nak melelong negara kita, jangan cepat kita lupa, jangan cepat kita nak jadi hero kononnya untuk dipuja oleh masyarakat kerana mengutuk negara kita sendiri...ini yang disukai negara luar," katanya.
Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata projek pembinaan Hospital Rembau yang sepatutnya siap pada tahun ini, berjalan seperti yang dirancang.
"Hospital ini lambat sedikit kerana 'drawingnya' tak betul, kalau ikut boleh risiko runtuh. Sekarang dah nak siap dah sebab pakai teknologi pasang siap dan siap mengikut jadual," katanya.
Pada 18 Sept lepas, Ketua Pengarah Kerja Raya Datuk Seri Ir Dr Roslan Md Taha dipetik sebagai berkata projek pembinaan Hospital Rembau telah siap 39 peratus sehingga Ogos lepas.
Hospital Rembau yang dibina di atas tanah seluas 19.4 hektar di Chembong dengan kos RM100 juta akan dilengkapi 97 katil serta kemudahan rawatan lain. -- Bernama