Mohamad Salim terima Anugerah Helang Persatuan Alumni St John

Bernama
Oktober 14, 2023 21:30 MYT
Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din menerima Anugerah Helang daripada Persatuan Alumni St John (SJAA) atas pencapaian beliau dan sokongan berterusan kepada St John Institution. - Gambar BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din menerima Anugerah Helang daripada Persatuan Alumni St John (SJAA) atas pencapaian beliau dan sokongan berterusan kepada St John Institution.
Mohamad Salim yang merupakan ahli kepada SJAA selama 49 tahun menzahirkan penghargaannya kepada St John Institution atas anugerah itu ketika ditemui selepas majlis itu malam ini.
"Saya amat terharu dengan penghormatan yang diberikan daripada sekolah yang saya hadiri dari peringkat rendah hingga ke menengah. Helang adalah simbol St John, jadi ini merupakan sesuatu yang berprestij dan berbeza," katanya kepada Bernama.
Anugerah Helang adalah anugerah yang diberikan kepada ahli SJAA yang membawa perubahan dalam komuniti, industri, alam kehidupan atau bidang kajian.
Mohamad Salim yang juga mencapai kejayaan mengagumkan dalam sektor pembinaan dan hartanah dalam 30 tahun lepas telah menerima pelbagai anugerah daripada pelbagai pihak seperti Ikon Hartanah semasa Dialog Pangkor 2016 dan Ikon Perniagaan Terbaik di Anugerah Perniagaan Utusan pada 2015.
Beliau juga memenangi anugerah "Global Masterclass CEO" Terbaik di Sidang Kemuncak Tokoh Perniagaan Timur Tengah 2015. - BERNAMA
#Pengerusi MCMC #Mohamad Salim Fateh Din #Anugerah Helang #Persatuan Alumni St John