Mohamad Sabu terima kunjungan hormat Menteri Luar Argentina, persijilan halal antara dibincang
Bernama
Mac 19, 2024 22:18 MYT
Mac 19, 2024 22:18 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu menerima kunjungan hormat Menteri Luar Argentina Diana Mondino, semalam.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pertemuan sulung antara kedua-dua pemimpin tersebut, diadakan bagi membincangkan kerjasama dalam perdagangan dua hala, persijilan halal serta sektor penternakan dan pertanian.
Menurut kenyataan KPKM, Mohamad mengalu-alukan sebarang kerjasama teknikal dalam bidang penyelidikan dan pemodenan pertanian, selain menekankan potensi beberapa produk Malaysia untuk dieksport ke negara Amerika Selatan itu, seperti produk nilai tambah haiwan dan makanan haiwan berasaskan protein serangga yang diproses.
Wakil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang turut menghadiri pertemuan tersebut, turut menawarkan bantuan latihan dan konsultasi kepada badan pensijilan halal di Argentina, dalam pematuhan standard halal Malaysia, bagi melancarkan proses permohonan pengiktirafan halal JAKIM.
"Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) menyatakan hasrat untuk memperbaharui kerjasama sedia ada antara MARDI dan Institut Teknologi Pertanian dan Ternakan Negara Argentina (INTA), melalui Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Oktober 2019 dan akan tamat pada Oktober, tahun ini.
"Mondino menyambut baik makluman tersebut dan menyatakan bahawa terdapat banyak lagi potensi kerjasama yang boleh diterokai melalui MoU antara kedua-dua pihak," menurut kenyataan itu.
Menurut KPKM, Mohamad juga menjemput Mondino untuk menghadiri Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan (MAHA) 2024 yang akan diadakan September ini, serta mengundang penyertaan Argentina dalam acara dwitahunan tersebut.
-- BERNAMA